Polis sahkan motosikal ditunggang warga asing milik anggota PDRM

SEPANG - Polis mengesahkan motosikal yang ditunggang oleh seorang warga asing tanpa lesen selain tidak mempunyai cukai jalan menerusi satu video tular dimiliki oleh seorang anggotanya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, video yang dikesan tular menerusi media sosial pada Ahad lalu itu memaparkan warga asing tersebut ditahan seorang anggota polis trafik.
"Pemeriksaan dijalankan mendapati penunggang tersebut tidak memiliki lesen memandu selain motosikal ditunggang tiada cukai jalan.
"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang kemudiannya mengeluarkan saman terhadap penunggang tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.