14 warga asing kerja tanpa pas di Pasar Besar Seremban ditahan

Dua wanita warga asing turut ditahan dalam serbuan tersebut. - Foto: JIMNS
Dua wanita warga asing turut ditahan dalam serbuan tersebut. - Foto: JIMNS
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS) menahan 14 warga asing termasuk dua wanita selepas disyaki bekerja dan berada di negara ini tanpa dokumen yang sah dalam serbuan di Pasar Besar Seremban pada awal pagi Isnin lalu.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, serbuan dalam Ops Jaja itu dilakukan sepasukan pegawainya pada jam 5.40 pagi.

"Berdasarkan maklumat awam, lokasi terbabit disyaki dipenuhi dengan warga asing yang bekerja tanpa sebarang pas yang sah dan menimbulkan ketidakselesaan penduduk setempat dan pelanggan.

"Sebanyak 10 premis termasuk di sekitar lokasi terbabit telah diperiksa membabitkan gerai sayur-sayuran, makanan dan minuman, gerai menjual ayam dan ikan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

JIMNS serbu Pasar Besar Seremban pada Isnin. - Foto: JIMNS
JIMNS serbu Pasar Besar Seremban pada Isnin. - Foto: JIMNS

Menurutnya, seramai 38 individu warga asing telah berjaya dikumpulkan bagi tujuan dokumentasi termasuk pelanggan.

"Hasil pemeriksaan mendapati 14 warga asing daripada jumlah terbabit berumur antara 23 hingga 40 tahun telah ditahan di bawah Seksyen 51(3) Akta Imigresen 1959/63 membabitkan warga Indonesia, Pakistan dan Myanmar.

"Kesemuanya direman mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana telah melakukan pelbagai kesalahan iaitu tinggal lebih masa (Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63), masuk tanpa suatu pas yang sah (Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63) dan melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara warga asing yang ditahan JIMNS dalam serbuan pada Isnin. - Foto: JIMNS
Antara warga asing yang ditahan JIMNS dalam serbuan pada Isnin. - Foto: JIMNS

Ai Kiang berkata, sembilan individu iaitu rakyat tempatan yang merupakan pemilik gerai yang disyaki terlibat telah diberikan borang 29 saman kepada saksi untuk hadir di unit siasatan bahagian penguatkuasa JIMNS untuk membantu siasatan.

" Kesemua warga asing yang ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut.Pemeriksaan telah tamat pada jam 7.23 pagi hari yang sama," katanya.