Kemas kini Garis Panduan Khas kendali jenayah seksual kanak-kanak

Azalina - Foto Bernama
Azalina - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bagi memastikan sistem keadilan jenayah di Malaysia kekal mengutamakan kanak-kanak, kerajaan merancang beberapa usaha bagi melindungi hak golongan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan bekerjasama dengan Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) untuk mengemas kini Garis Panduan Khas untuk mengendalikan Kes Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Beliau berkata, ia termasuk menerbitkan versi baharu pada Januari 2024 dengan mengambil kira cabaran-cabaran yang dihadapi oleh setiap agensi.

Kata beliau, usaha itu termasuk memasukkan langkah-langkah khas yang diperkenalkan oleh Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 serta pindaan undang-undang yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen yang akan datang.

"BHEUU, JPM bersama-sama dengan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) akan menggubal dan mewartakan peraturan-peraturan bagi Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2017 (Akta 676).

"Ini bagi memberikan penjelasan dan panduan berhubung dengan penggunaan langkah-langkah khas yang diperuntukkan dalam akta tersebut termasuk langkah-langkah khas sedia ada serta pindaan baharu," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Bukit Aman, dekat sini.

Artikel Berkaitan:

Azalina (duduk, tujuh dari kanan) bergambar kenangan bersama peserta semasa lawatan ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Bukit Aman pada Selasa.
Azalina (duduk, tujuh dari kanan) bergambar kenangan bersama peserta semasa lawatan ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Bukit Aman pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr Farah Nini Dusuki.

Lawatan turut disertai oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Parlimen Ke-15, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam, wakil PKPMP, Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Bantuan Guaman (JBG), BHEUU serta wakil daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, latihan khusus bagi semua pihak berkepentingan dalam keadilan jenayah akan diperbanyakkan.

Jelas beliau, usaha itu memerlukan kerjasama dengan Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (Ilkap) serta Maktab Polis Diraja Malaysia dalam memastikan kepakaran pihak pengendali kanak-kanak dalam sistem keadilan.

Tambahnya, BHEUU dan JPM akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) untuk menggubal peraturan atau kod industri mandatori untuk menyekat bahan penderaan kanak-kanak dalam talian.

Mengulas mengenai perbincangan di CIC, Azalina berkata, pihaknya berusaha memahami secara keseluruhan hubungan antara pihak penguat kuasa iaitu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak pendakwa raya dan pihak mahkamah dalam sistem pentadbiran keadilan jenayah kanak-kanak.

Katanya, input dan pandangan daripada pegawai-pegawai Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) PDRM serta pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP).

Menurutnya, kesemua maklumat yang telah diperolehi akan digunakan bagi menambah baik sistem keadilan Malaysia dalam pengendalian mangsa kanak-kanak.

Beliau berkata, ia juga akan digunakan dalam pendakwaan kes penderaan kanak-kanak dalam talian bagi memastikan kanak-kanak dilindungi secara holistik.

"Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha untuk menjayakan lawatan dan perbincangan hari ini.

"Kerajaan Madani akan terus mengutamakan hak kanak-kanak dalam polisi kerajaan dan melakukan yang terbaik demi kepentingan semua kanak-kanak di Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik usaha kerajaan dan agensi di bawahnya mengadakan perbincangan khas bagi menyelesaikan isu melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Mohd Shuhaily berkata, tugas PDRM adalah menyiasat dan menyelesaikan kes berlaku, tetapi bukan menyelesaikan keseluruhan masalah atau punca berlakunya jenayah seksual kanak-kanak.

Tegasnya, komuniti atau masyarakat sekeliling perlu cakna dengan situasi di kawasan masing-masing dan membantu melaporkan jenayah seumpama itu kepada pihak PDRM.

"Kita mahu semua masyarakat mengambil tahu tentang kejiranan mereka dan melaporkan sebarang jenayah kepada PDRM bagi diambil tindakan," ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, Unit Siasatan Jenayah Internet Terhadap Kanak-Kanak Malaysia (MICAC) telah ditubuhkan pada Jun 2022 yang berfungsi sebagai sebuah unit risikan operasi D11 PDRM untuk menganalisis maklumat-maklumat berkenaan dengan kesalahan seksual dalam talian.

Beliau berkata, MICAC turut membuat risikan dan operasi bagi menjalankan tangkapan apabila berlaku kes seksual terhadap kanak-kanak.

"Jumlah rakaman percakapan kanak-kanak yang dibuat di CIC Bukit Aman bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini adalah sebanyak 1,411 rakaman.

"Kes rogol adalah jenayah paling tinggi terhadap kanak-kanak, melibatkan 6,761 kes bagi tempoh 2019 hingga Ogos 2023," ujarnya.

Tambahnya lagi, mangsa melibatkan kanak-kanak perempuan adalah sebanyak 80 peratus dan selebihnya kanak-kanak lelaki.

Katanya lagi, kanak-kanak yang ramai menjadi mangsa adalah berusia 15 tahun dan ke bawah.