Polis nafi tak ambil tindakan kes pukul di Bestari Jaya

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis menafikan dakwaan tular kononnya tidak menerima laporan kes seorang lelaki dipukul sekumpulan individu di sekitar Bestari Jaya di sini, pada hujung bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, perkara itu dikesan pihaknya menerusi satu video di aplikasi TikTok seorang individu, kira-kira jam 9.40 pagi Ahad.

Menurut beliau, pihaknya mengambil tindakan sewajarnya dengan membuka kertas siasatan selepas menerima dua laporan polis dibuat ahli keluarga mangsa pada 27 Ogos lalu.

"Berdasarkan laporan itu, mangsa dipukul sekumpulan lelaki di hadapan sebuah rumah kira-kira jam 9.55 malam," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Ramli memberitahu, polis kemudian membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Ujar beliau, seramai dua suspek lelaki ditahan polis pada hari kejadian selain merekodkan keterangan ahli keluarga mangsa bagi membantu siasatan.

"Pada 29 Ogos lalu, dua tangkapan berkenaan telah didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Besar dan telah membuat pengakuan bersalah serta dijatuhi hukuman," jelas Ramli.

Sehubungan itu, tegas beliau, orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan sebarang kenyataan palsu kerana tindakan boleh dikenakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel Berkaitan: