Kerajaan Perak nafi dakwaan tapak kediaman rasmi dijual

Laman Seri Ridzuan kini menjadi tempat pengajian Rumah Ngaji Negeri Perak selepas kawasan tersebut tidak lagi digunakan sebagai Kediaman Rasmi Menteri Bersar Perak.
Laman Seri Ridzuan kini menjadi tempat pengajian Rumah Ngaji Negeri Perak selepas kawasan tersebut tidak lagi digunakan sebagai Kediaman Rasmi Menteri Bersar Perak.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menafikan dakwaan tapak kediaman rasmi menteri besar yang lama telah dijual kepada pihak tertentu untuk dibangunkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, setakat ini pihaknya baru menerima satu cadangan pembangunan daripada sebuah syarikat di kawasan itu dan masih menunggu beberapa lagi cadangan lain untuk dipertimbangkan.

Menurutnya, mana-mana pihak berminat untuk membangunkan kawasan tersebut perlu akur dengan syarat ditetapkan iaitu perlu memulakan pembinaan 14 rumah rasmi kerajaan di satu kawasan ditetapkan melibatkan kediaman menteri besar, setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan negeri, penasihat undang-undang negeri dan 10 rumah exco kerajaan negeri berserta dewan gunasama.

"Baru-baru ini saya agak terkejut ditularkan sekali lagi mengenai kediaman rasmi menteri besar bahawa kerajaan negeri telah pun menjual tapak kediaman lama menteri besar. Saya tak tahu perkara ini datang dari mana.

Tapak Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak yang lama masih belum dibangunkan oleh mana-mana pihak kerana kerajaan masih perlu meneliti beberapa cadangan.
Tapak Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak yang lama masih belum dibangunkan oleh mana-mana pihak kerana kerajaan masih perlu meneliti beberapa cadangan.

"Setakat sekarang ini, saya dah lihat satu proposal yang agak menarik dan beberapa syarikat lagi telah menyatakan kesediaan untuk menghantar juga proposal. Kita tidak membuat keputusan terburu-buru," katanya dalam satu temubual khas bersama agensi media Perak di kediaman rasmi Menteri Besar Perak lama atau kini dikenali sebagai Laman Seri Ridzuan, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan satu video yang tular meminta penjelasan Ahmad Faizal mengenai berita penjualan tapak kediaman rasmi menteri besar itu.

Ahmad Faizal berkata, pihaknya akan mengumpul seberapa banyak cadangan pembangunan kawasan itu sebelum pengambilalihan tanah dibuat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebarang pembangunan di kawasan tersebut hanya boleh dimulakan setelah setelah 14 rumah rasmi kerajaan dibina.

Pembangunan kawasan Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak yang lama hanya akan dilakukan setelah pihak pemaju membina 14 rumah rasmi kerajaan.
Pembangunan kawasan Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak yang lama hanya akan dilakukan setelah pihak pemaju membina 14 rumah rasmi kerajaan.

"Jadi saya fikir daripada satu rumah menjadi 14 rumah dan nilainya bertambah. Di samping itu, nilai pertumbuhan pembangunan (growth development value) meningkat dan kita tak kehilangan tanah malah menambah keuntungan.

"Ini satu perkembangan baik, tapi orang lihat menteri besar baru tak sabar-sabar nak dapat rumah lebih cantik dan sebagainya," katanya.

Ahmad Faizal bagaimanapun menjelaskan sekiranya pembinaan kediaman rasmi baharu itu dimulakan pembinaannya dalam masa terdekat belum tentu ia dapat digunakan oleh pemimpin kerajaan yang ada sekarang.

Katanya, pembinaan tersebut akan mengambil masa dan ia salah satu perancangan masa depan.

Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak kini terletak di Jalan Raja Dihilir yang sebelum ini merupakan Kediaman Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Sementara itu Laman Seri Ridzuan pula dijadikan pusat Rumah Ngaji Negeri Perak.