Fikir masukkan silibus politik di sekolah

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

IPOH - Kementerian Pendidikan diminta memikirkan semula untuk memberi pendedahan politik kepada pelajar sekolah apabila had umur mengundi dibenarkan kepada 18 tahun kelak.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai politik kepada pelajar-pelajar yang bakal menamatkan pelajaran selepas menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

"Saya harap Kementerian Pendidikan selepas ini memikirkan semula di dalam silibus pendidikan sekolah supaya ada pendedahan tentang politik kepada pelajar kerana mereka akan sertai politik negara setahun selepas mengambil SPM.

"Seharusnya mereka dibekalkan dengan persiapan minda pengetahuan yang cukup tentang soal dan selok-belok parti politik," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Konvensyen Nasional Amanah 2018, di Casuarina@Meru, di sini, hari ini.

Mahfuz turut menyeru semua guru, ustaz dan ustazah yang merupakan ahli Amanah dan berada di dalam sektor pendidikan untuk memainkan peranan masing-masing membina pelajar-pelajar tersebut dari awal persekolahan lagi.

"Dari Amanah sendiri kita harus merekrut mereka untuk sertai kita, sebab itu, guru, ustaz, ustazah dalam sektor pendidikan harus mainkan peranan membina mereka di awal persekolahan lagi, Insya-ALLAH," katanya.

Artikel Berkaitan: