Tambang feri: Diskaun 30 peratus untuk penunggang motosikal

PPSB menawarkan diskaun 30 peratus bagi tambang penunggang motosikal melalui pas musim bermula Selasa.
PPSB menawarkan diskaun 30 peratus bagi tambang penunggang motosikal melalui pas musim bermula Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Selepas meneliti dan memantau kebimbangan orang ramai berhubung kadar tambang feri baharu, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) menawarkan 30 peratus diskaun tambang bagi penunggang motosikal bermula Selasa.

PPSB dalam kenyataannya berkata, pemberian diskaun itu akan diberikan menerusi pas musim sehingga 30 Jun tahun depan.

"Sepanjang bulan ini, PPSB sentiasa memantau komen dan kebimbangan orang ramai berhubung perkhidmatan feri Pulau Pinang. Input pengguna sangat berharga bagi kami dan kami komited untuk menangani keperluan mereka selain memastikan pengalaman perjalanan yang lancar untuk semua.

"PPSB dengan pengesahan bersama Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan MMC Corporation Berhad (MMC) akan melaksanakan satu inisiatif khas yang kami percaya akan membantu meringankan beban pelanggan.

"Berkuatkuasa 12 September, PPSB menawarkan tambang diskaun sebanyak 30 peratus melalui pas musim untuk penunggang motosikal. Diskaun ini akan disediakan sehingga 30 Jun 2024," katanya pada Isnin.

PPSB menawarkan diskaun 30 peratus bagi tambang penunggang motosikal melalui pas musim bermula Selasa
PPSB menawarkan diskaun 30 peratus bagi tambang penunggang motosikal melalui pas musim bermula Selasa

Kata PPSB, dengan pemberian diskaun tersebut, tambang motosikal bagi satu hala akan dikurangkan daripada RM2.50 ke RM1.75.

"Dengan pemberian diskaun 30 peratus itu, pelanggan hanya perlu membayar RM105 untuk 60 trip berbanding RM150 (sebelum diskaun). Ini bermakna, pelanggan boleh jimat RM45 untuk 60 trip dan 75 sen bagi setiap trip.

Artikel Berkaitan:

"Pas musim diskaun ini boleh diperoleh melalui MyKad," katanya.

Tambah PPSB, untuk memperbaiki perkhidmatan feri, pihaknya juga akan menambah jadual iaitu trip pada jam 11 malam setiap hari dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth.

"Pelarasan ini bagi menyelaraskan perkhidmatan feri dengan jadual tren perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang tiba di Butterworth pada jam 10.22 malam.

"Ia akan memudahkan perjalanan pengguna bagi kedua-dua perkhidmatan awam itu," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan rungutan penumpang feri yang meminta PPSB selaku syarikat pengendali feri baru supaya mengkaji semula kadar tambang bagi perkhidmatan itu berikutan ia dilihat terlalu tinggi.

Kebanyakan penumpang menyifatkan tambang yang dikenakan bagi kedua-dua pangkalan terlalu mahal terutamanya bagi mereka yang berulang alik menggunakan perkhidmatan itu setiap hari.

Sebelum ini, PPSB dalam kenyataan memaklumkan kadar tambang untuk perkhidmatan feri baharu di Pulau Pinang yang dikenakan kepada penumpang berkuat kuasa Khamis bermula pada harga serendah RM1 hingga RM2.50 sehala.

Tambang RM1 akan dikenakan kepada pejalan kaki yang berusia 12 tahun ke bawah manakala penumpang dewasa atau individu berusia 12 tahun ke atas dikenakan RM2 bagi sehala.

Selain itu, penunggang basikal yang menaiki feri juga akan dikenakan caj sebanyak RM2 manakala penunggang motosikal adalah sebanyak RM2.50.

Bagaimanapun, PPSB menawarkan pas bulanan yang menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus kepada pengguna setia feri iaitu pejalan kaki yang juga pemegang MyKad.

Diskaun tersebut ditawarkan sehingga 31 Disember ini yang mana, bermula 1 Januari 2024, diskaun 30 peratus akan diberikan kepada pemegang pas bulanan.

Inisiatif ini bertujuan untuk memberi lebih nilai tambah dan kemudahan kepada penumpang setia perkhidmatan itu.