Mantapkan ilmu perkahwinan walau sudah 20 tahun berumah tangga

Sebahagian daripada peserta yang mengikuti kursus pasca perkahwinan Semarak Kasih anjuran Jawi pada Ahad.
Sebahagian daripada peserta yang mengikuti kursus pasca perkahwinan Semarak Kasih anjuran Jawi pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usia perkahwinan mencecah antara 11 hingga 20 tahun tidak menghalang sepuluh pasangan suami isteri menuntut ilmu kekeluargaan menerusi kursus pasca perkahwinan Semarak Kasih pada Ahad.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam satu kenyataan berkata, kursus secara percuma selama tiga hari dua malam itu menyasarkan penyertaan dalam kalangan penjawat awam daripada pelbagai agensi.

Menurutnya, kursus tersebut dikendalikan oleh penceramah dan fasilitator berpengalaman dengan pelbagai pengisian menarik seperti motivasi, pengurusan kesihatan dan kewangan serta aktiviti santai secara interaktif.

"Objektif kursus berkenaan diadakan adalah bagi memantapkan ilmu dan kemahiran kepada pasangan suami isteri ke arah memperkukuhkan keharmonian rumah tangga khususnya dalam kalangan penjawat awam yang tidak terkecuali menghadapi pelbagai isu dan cabaran rumah tangga termasuk di tempat kerja, " kata kenyataan itu.

Peserta menyertai aktiviti bagi memperkukuhkan keharmonian rumah tangga pada kursus pasca perkahwinan Semarak Kasih anjuran Jawi pada Ahad.
Peserta menyertai aktiviti bagi memperkukuhkan keharmonian rumah tangga pada kursus pasca perkahwinan Semarak Kasih anjuran Jawi pada Ahad.

Program anjuran Jawi dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah dirasmikan Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.

Jawi memaklumkan, Fasa Semarak Kasih merupakan salah satu daripada empat modul pengukuhan rumah tangga yang dibangunkan oleh Jakim.

Ujar kenyataan itu, modul perkahwinan bermula Fasa Bulan Madu melibatkan usia perkahwinan kurang lima tahun; Fasa Sehati Sejiwa (enam hingga 10 tahun); Fasa Semarak Kasih (11 hingga 20 tahun) dan Fasa Syurga Cinta (21 tahun ke atas).

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Jawi telah melaksanakan Kursus Pasca Perkahwinan melibatkan tiga modul iaitu Bulan Madu, Sehati Sejiwa dan Syurga Cinta yang disertai oleh pasangan suami isteri sekitar Wilayah Persekutuan termasuk Labuan sejak 2020.