[VIDEO] Suami isteri dituduh edar ganja lebih 51kg

A
A
A

SUNGAI PETANI - Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat lebih 51 kilogram, minggu lalu.

Tertuduh, Saiful Syamil Idris, 32, yang merupakan pemandu forklif manakala isterinya, Nurul Wahida Mohd Adnan, 32, seorang suri rumah didakwa bersama-sama mengedar dadah seberat 51.634 kilogram pada 28 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, pasangan itu bersama-sama dengan tanpa kebenaran telah mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis (ganja) seberat 768 gram pada jam lebih kurang 12.30 tengah malam di rumah mereka di Bandar Seri Astana di sini.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka bersama-sama pada tarikh dan lokasi sama dengan tanpa kebenaran telah mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 50.866 kilogram.

Disebabkan itu, pasangan itu telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 39B (1)a Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Saiful Syamil dan Nurul Wahida diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Rabu.
Saiful Syamil dan Nurul Wahida diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Rabu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Preeya Singaravelu di hadapan Majistret Kalaiarasi Muniandy.

Kedua-dua mereka kemudian mengangguk faham pertuduhan dibacakan, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Tertuduh tidak dibenarkan jamin kerana pertuduhan itu tidak menawarkan sebarang jaminan.

Kes akan disebut semula pada 6 Disember 2023.

Sebelum ini, media melaporkan kegiatan sepasang suami isteri dipercayai menjadi ‘transporter’ untuk mengedar dadah jenis ganja bernilai RM160,000 sejak April lalu terbongkar selepas ditahan polis di rumah mereka di Bandar Seri Astana.

Pasangan itu ditahan semasa sedang berehat selepas pulang daripada mengambil bekalan dadah di sempadan melalui negeri Kelantan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil serbuan menemukan satu bungkusan dadah jenis ganja mampat di rumah itu sebelum pemeriksaan lanjut menemui 50 lagi ketulan mampat ganja di dalam bonet kereta yang bernombor pendaftaran Thailand.