Emas bukan lagi ukuran?

Mohamad Norza (belakang, tengah) bersama Nazifuddin ketika sesi bergambar bersama barisan atlet negara selepas Majlis Penyerahan Watikah Pemilihan Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022 di Kuala Lumpur minggu lalu. - Foto Bernama
Mohamad Norza (belakang, tengah) bersama Nazifuddin ketika sesi bergambar bersama barisan atlet negara selepas Majlis Penyerahan Watikah Pemilihan Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022 di Kuala Lumpur minggu lalu. - Foto Bernama
A
A
A

CADANGAN untuk tidak meletakkan sasaran pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022 tiada kaitan dengan kegagalan kontinjen Malaysia mencapai sasaran emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, Mei lalu.

Sebaliknya, Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, perkara itu antara dua cadangan yang dikemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Malah, beliau memberitahu, MOM kini menyerahkan kepada Hannah untuk memutuskan pendekatan yang bakal digunakan berhubung penetapan sasaran pingat pada Sukan Asia 2022.

Menurutnya, ia sama ada mengumumkan sasaran pingat mengikut warna (emas, perak, gangsa) seperti biasa atau pendekatan baharu dengan hanya mengumumkan jumlah keseluruhan pingat tanpa mendedahkan warna pingat.

“Kita perlu asingkan prestasi Sukan Asia dan Sukan SEA sebab Sukan SEA adalah pendedahan dan kebanyakan mereka (barisan atlet muda negara) bersaing buat pertama kali.

“Tetapi Sukan Asia memang bukan lagi pada tahap pendedahan, tetapi kita hendak melihat atlet yang bertanding berada dalam ranking yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Sebelum ini, prestasi kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2023 dipersoal ramai pihak terutamanya dalam kalangan peminat sukan tempatan gara-gara kegagalan mencapai sasaran 40 emas.

Artikel Berkaitan:

Jumlah kutipan 34 pingat emas menyaksikan kontinjen Malaysia mencatat pencapaian terburuk sejak membawa pulang keseluruhan 31 emas pada edisi 1995 di Chiang Mai, Thailand.

Situasi itu mengundang pelbagai ramalan sehingga ada pemerhati dan pengkritik sukan berpandangan 'malapetaka' lebih buruk bakal menimpa kontinjen Malaysia di Hangzhou.

Mengulas lanjut, Nazifuddin berkata, MOM bersama-sama persatuan sukan kebangsaan yang terlibat telah mengadakan mesyuarat penetapan pingat Sukan Asia 2022 baru-baru ini.

“Apa yang paling penting adalah pencapaian keseluruhan untuk semua atlet kerana kita mahu dilihat sebagai satu kontinjen yang boleh berikan pungutan pingat yang sesuai dengan saiz kontinjen.

“Kita pun tidak mahu melihat emas ini menjadi topik utama untuk kontinjen negara, tetapi yang penting semua sukan yang kita hantar ada prestasi baik pada Sukan Asia,” ujarnya.

Pada Sukan Asia 2022 yang dijadual berlangsung dari 23 September hingga 10 Oktober ini, Malaysia menampilkan 294 atlet dan akan mengambil bahagian dalam 29 acara.