Perak sedia RKK khas, pulihara warisan Taiping

Saarani (kanan) bersama Kamarul Baharin (kiri) meninjau ruang pameran sempena Program Citra Nusa@Muzium Matang di Muzium Matang, Kota Ngah Ibrahim Matang pada Sabtu.
Saarani (kanan) bersama Kamarul Baharin (kiri) meninjau ruang pameran sempena Program Citra Nusa@Muzium Matang di Muzium Matang, Kota Ngah Ibrahim Matang pada Sabtu.
A
A
A

TAIPING - Satu Rancangan Kawasan Khas (RKK) sedang dirangka bagi pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan warisan dan sejarah di Taiping, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, RKK Warisan Bandar Taiping (RKKWBT) 2.0 itu akan ditunjangi lima teras yang menjurus kepada usaha ke arah penjanaan ekonomi pelancongan melalui pemerkasaan aset warisan bandar Taiping.

Menurutnya, menerusi RKK tersebut, fokus kerajaan terarah kepada pemeliharaan bangunan warisan yang menekankan kepada kelestarian sejarah dan budaya serta peningkatan aspek penguatkuasaan pemeliharaan bandar selain menjaga kualiti reka bentuk daripada mengalami kemusnahan nilai seni bina.

"RKK ini adalah fasa kesinambungan daripada RKK Warisan Bandar Taiping 2020 (RKKWBT 2020) dan merupakan pelaksanaan segera kepada Rancangan Tempatan Daerah Larut Matang 2035 (RTDLM 2035).

"Objektif kita adalah untuk mempromosikan penjenamaan semula dan pemuliharaan Bandar Warisan Taiping melalui ekonomi berteraskan pelancongan warisan dan sejarah sekaligus dapat meningkatkan aktiviti perniagaan bandar serta memberikan peluang pekerjaan baru kepada penduduk tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Citra Nusa@Muzium Matang di Muzium Matang, Kota Ngah Ibrahim Matang, dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Antara fokus utama kerajaan menerusi RKKWBT 2.0 adalah pemeliharaan dan pemuliharaan Muzium Matang, Pejabat Daerah Taiping, Makam Long Jaafar dan Bukit Larut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Saarani berkata, perancangan di bawah Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa atau PLANMalaysia@Perak itu adalah termasuk pelan jangka panjang kerajaan ke arah menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan bertemakan alam semula jadi dan warisan bertaraf dunia.

"RKK ini telah dibawa PLANMalaysia di peringkat negeri dan akan dicatatkan dalam Mesyuarat Exco," katanya.

Menurut beliau, RKKWBT 2.0 boleh direalisasikan berdasarkan pengiktirafan antarabangsa diterima Taiping antaranya Taman Bandar dan Bandar Terbaik, Bandar Ketiga Terbaik Dunia, tersenarai antara 100 Destinasi Lestari Terbaik dan terbaharu adalah Bandar Mesra Usia dan Bandar Paling Bahagia (2019).

"Insya-ALLAH perkara ini tidak mustahil untuk dicapai, malah kita berbangga dengan pencapaian demi pencapaian yang diperolehi bandar Taiping yang menguatkan lagi kedudukannya sebagai bandar pelancongan," katanya.

Program Citra Nusa@Muzium Matang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad menyediakan pelbagai program antaranya pameran Malaysia Tanah Airku, persembahan artis, pesta cahaya perpaduan,kayuhan santai perpaduan, persembahan wayang kulit, wayang pacak dan Jualan Rahmah.

Turut diadakan pameran artifak terpilih Muzium Matang yang memaparkan susur galur sejarah di Perak bermula zaman pra sejarah penemuan fosil manusia dikenali Perak Man, gendang dongson, fosil gigi gajah yang dijumpai di Gua Tambun serta tembikar dan tengkorak kepala manusia yang dijumpai di Selinsing.