Perak sedia bincang hasrat Pulau Pinang beli air terawat

Saarani (duduk dua dari kiri) bertemu dengan orang ramai yang hadir ketika Program Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia pada Isnin.
Saarani (duduk dua dari kiri) bertemu dengan orang ramai yang hadir ketika Program Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak sedia berbincang dengan kerajaan Pulau Pinang yang berhasrat ingin membeli air terawat di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya sudah menerima surat daripada kerajaan Pulau Pinang dua bulan yang lalu berkaitan perkara tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, sebarang keputusan belum dimuktamadkan kerana Perak perlu memastikan keperluan domestik mencukupi.

"Kerajaan Pulau Pinang, mereka memerlukan air terawat dan bersedia untuk membelinya. Kita boleh bincang mengenai pembekalan air terawat dari Perak ke Pulau Pinang.

"Tapi (keputusan itu) masih juga tertakluk kepada kita cukup atau tak (keperluan domestik). Kita nak pastikan kegunaan di negeri sendiri mencukupi. Nanti rakyat akan marah kepada saya sebab jual air ke negeri lain tiba-tiba kita tak cukup," katanya kepada pemberita selepas Program Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini pada Isnin.

Saarani berkata, ketika ini kawasan Nibong Tebal, Pulau Pinang menerima bekalan air terawat daripada Lembaga Air Perak (LAP) yang disalurkan dari Parit Buntar.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang dalam perancangan untuk membekalkan air Sungai Perak ke utara Perak memandangkan kawasan berkenaan sering berlaku kekurangan air bagi tujuan pertanian.

Media pada 7 Jun lalu melaporkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer minta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang dengan Saarani untuk mendapatkan bekalan air dari Perak untuk Pulau Pinang tanpa bergantung bekalan dari negeri Kedah.

Saarani sebelum ini menjelaskan kerajaan Perak tidak akan menjual air mentah ke Pulau Pinang kerana keperluan air domestik masih belum mencukupi.