Mak, ayah pengsan lihat rumah terbakar

Dul Kadir melihat wang belanja raya yang disimpan di dalam tabung kini menjadi abu selepas terbakar.
Dul Kadir melihat wang belanja raya yang disimpan di dalam tabung kini menjadi abu selepas terbakar.
A
A
A

PONTIAN - Pasangan warga emas, Samsiah Selamat, 60, dan suaminya, Parijo Pariman, 60, terselamat apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Parit Satu Sanglang, Ayer Baloi, di sini kira-kira jam 12.45 tengah hari kelmarin.

Anak mangsa, Dul Kadir, 28, berkata, dia bergegas pulang dari tempat kerjanya di sebuah kilang besi di Johor Bahru selepas rakannya memberitahu tentang kebakaran rumahnya itu.

“Berderau darah saya bila tahu rumah terbakar. Ketika itu memang fikirkan ibu dan ayah kerana waktu tengah hari biasanya mereka duduk di rumah sahaja.

“Saya naik motosikal untuk balik rumah dengan segera. Saya tengok rumah hangus dan kereta ayah rentung,” katanya kepada Sinar Harian.

Anak bongsu dari tiga beradik ini bertindak mencari kedua ibu bapanya sebelum dimaklumkan penduduk kampung mereka berada di klinik kerana pengsan.

“Lega saya tengok ayah. Biarlah rumah dan semua barang terbakar asalkan mak dan ayah selamat.

“Rupanya ayah dan ibu keluar beli barang di bandar Pontian ketika kebakaran berlaku,” katanya.

Dikatakan api marak terlalu cepat membakar rumah separa kayu tersebut disebabkan cuaca panas.

Artikel Berkaitan:

Kereta milik ayah Dul Kadir turut musnah terbakar.
Kereta milik ayah Dul Kadir turut musnah terbakar.

Duit belanja raya RM1,500 jadi abu

Dalam pada itu, Dul Kadir terkilan kerana duit belanja raya yang dikumpul sebanyak RM1,500 sejak dua bulan lalu hangus menjadi abu.

“Minggu depan saya rancang nak bawa ayah dan ibu beli baju dan kuih raya. Duit pula saya simpan dalam tabung di dalam bilik.

“Mungkin bukan rezeki saya hendak bawa mak ayah beli-belah raya. Duit dan tabung jadi abu,” katanya.

Menurutnya, dia bersama ibu dan bapanya kini menumpang sementara di rumah abang, Mohd Rizal, 40, yang terletak tidak jauh dari rumah mereka.

Sementara itu, pelbagai pihak tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Antara yang terawal menghulurkan sumbangan ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Johor, pegawai daerah dan penyelaras DUN Benut.

Penghulu Mukim Ayer Baloi, Azrul Ibrahim berkata, pihaknya bersama ketua-ketua kampung tampil menghulurkan sumbangan barangan makanan dan keperluan harian.

Tentang bantuan rumah katanya, perkara tersebut perlu dirujuk terlebih dahulu dengan agensi kerajaan berkaitan seperti Baitulmal dan Pejabat Daerah Pontian bagi melihat kesesuaian bantuan yang layak diberikan.