MPKS ambil tindakan tegas tangani tapak pelupusan sampah haram

Keratan portal Sinar Harian pada 4 September lalu.
Keratan portal Sinar Harian pada 4 September lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) tidak teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana individu atau syarikat kontraktor yang membuang sampah berhampiran Jalan Kepong-Kuala Selangor.

Setiausahanya, Mohamad Yusli Askandar berkata, tindakan penguatkuasaan diambil merujuk kepada punca kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

"Pihak MPKS boleh mengambil tindakan kompaun kepada pihak didapati melakukan kesalahan berkenaan," katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penduduk di sekitar Puncak Alam berdepan masalah pencemaran bau busuk dan asap setiap hari berikutan kewujudan timbunan sampah di lokasi tersebut.

Mohamad Yusli berkata, tindakan rampasan tanah juga boleh dilakukan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor.

Beliau menegaskan, tapak pelupusan sampah itu beroperasi tanpa kebenaran yang sah dan menyalahi undang-undang.

Jelas beliau, penduduk di kawasan itu mula memiliki tanah sekitar tahun 2008 melalui proses pelupusan tanah kerajaan secara pemberian hak milik.

"Kawasan aduan asalnya sebuah penempatan tanpa kebenaran dalam kawasan lembah di tebing Sungai Buloh.

"Kawasan tersebut diteroka penduduk dan mereka menjalankan aktiviti pertanian sejak lebih 30 tahun lalu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohamad Yusli, pada masa ini, tapak pelupusan sampah yang dibenarkan di daerah Kuala Selangor hanya terletak di Jeram yang menggunakan kaedah pelupusan sampah secara sanitari dan terurus.

"Aktiviti membuang sampah secara haram tersebut tidak dibenarkan oleh MPKS dan pemilik tanah hendaklah bertanggungjawab untuk menjaga hak milik tanah tersebut daripada diceroboh," jelas beliau.

Tegas beliau, MPKS memandang serius isu sampah haram dan setakat ini sebanyak 161 kompaun telah dikeluarkan selain menyita sebanyak 77 lori sejak tahun 2017.

"Sehingga Ogos lalu, sebanyak 53 kompaun telah dikeluarkan dan 18 buah lori telah disita dan ia tertinggi sejak enam tahun lalu," ujar beliau.

Sinar Harian pada 4 September lalu melaporkan, kira-kira 13,000 penduduk di sekitar Puncak Alam, di sini berdepan masalah pencemaran bau busuk dan asap setiap hari berikutan kewujudan timbunan sampah berhampiran Jalan Kepong-Kuala Selangor hampir setahun lalu.