Pahang warta Hutan Taman Negeri Lubuk Yu

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berucap pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di DUN Pahang, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berucap pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di DUN Pahang, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang bersetuju untuk mewartakan sebahagian Hutan Simpan Berkelah, Mukim Chenor, Maran seluas 14,679.28 hektar sebagai Hutan Taman Negeri Lubuk Yu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri yang bermesyuarat pada Rabu lalu.

Menurutnya, melalui pewartaan itu, Hutan Taman Negeri Lubuk Yu menjadi Hutan Taman Negeri keempat bagi Negeri Pahang.

"Hutan Taman Negeri Lubuk Yu juga turut diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air sebagaimana keperluan di bawah perenggan 10(1)(e), Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

"Selain itu, ia juga akan mewujudkan zon penampan Taman Negeri dengan kelebaran 1.5 kilometer.

"Hutan Taman Negeri ini diletakkan di bawah Perbadanan Taman Negeri Pahang dan diuruskan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.

Wan Rosdy berkata, menerusi pewartaan itu, kelulusan pembalakan di kawasan tersebut juga telah pun dibatalkan.

"Untuk rekod, Pahang telah menubuhkan Taman Negeri Cameron Highlands pada 2019 berkeluasan 2,270 hektar diikuti penubuhan Taman Negeri Rompin ( 31,797 hektar) tahun 2000 dan Hutan Taman Negeri Tasik Chini ( 6,502.80 hektar) pada 2022.

Artikel Berkaitan:

"Melalui penubuhan Hutan Taman Negeri Lubuk Yu yang baharu ini, Pahang kini mempunyai Hutan Taman Negeri yang berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) seluas 55,249.08 hektar," jelasnya.

Menurutnya, dengan langkah itu diharap berupaya melindungi habitat flora dan fauna berharga di Hutan Taman Negeri selain menjadikannya lokasi pelancongan eko-rimba yang menarik dan unik.