PRK: Kemenangan PH indikator penting untuk Kerajaan Perpaduan - Penganalisis

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan para penduduk ketika hadir pada Ceramah Mega Perpaduan Madani DUN Simpang Jeram di Taman Desa, Sungai Abong baru-baru ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan para penduduk ketika hadir pada Ceramah Mega Perpaduan Madani DUN Simpang Jeram di Taman Desa, Sungai Abong baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hanya berbaki kurang 48 jam bagi calon-calon yang bertanding kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram untuk meyakinkan pengundi dengan tawaran mereka.

Keberkesanan jentera calon parti-parti yang bertanding dalam menyampaikan mesej, tawaran serta menjelaskan isu-isu berbangkit dalam tempoh singkat ini, pastinya kritikal terutamanya kepada pengundi atas pagar.

Justeru, parti yang berjaya menterjemahkannya kepada undi pastilah akan muncul sebagai ‘pemenang’ sekali gus menoktahkan segala persoalan dan isu yang dibangkitkan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung sejak 26 Ogos lepas.

Penganalisis Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid berkata, kemenangan yang berpihak kepada PH bakal menjadi satu indikator penting kepada Kerajaan Perpaduan (PH).

Beliau yang yakin PH mampu mengekalkan kemenangan di Pulai berkata, PH dan Barisan Nasional (BN) sudah belajar kelemahan mereka daripada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

"Semasa PRN di enam negeri baru-baru ini, keserasian PH-BN kurang... kita lihat seolah-olah UMNO tidak dapat menggunakan kekuatan untuk memobilisasi pengundi.

"Ia berbeza di Johor sebab UMNO bermula di Johor, rekod kemenangan PRN (Johor) juga UMNO menang 40 daripada 56 kerusi. Dari segi kekuatan dan keserasian, di mana sahaja kempen, ada jentera PH dan BN kempen diadakan, ini sekali gus menunjukkan ada keserasian,” tambah Mohd Azhar.

Sementara itu, penganalisis politik Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, kemenangan kedua-dua kerusi boleh memberikan legitimasi moral dalam konteks Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

"Apapun keputusan PRK, ia tidak mengubah keadaan politik, di negeri ataupun persekutuan. Namun ia melibatkan soal keabsahan moral. Ia akan memberi legitimasi moral ke atas kedudukan Kerajaan Perpaduan jika menang kedua-dua kerusi, walaupun itu adalah kerusi Amanah,” kata penganalisis Universiti Sains Malaysia itu.

Sivamurugan berkata, terjemahan undi bergantung kepada keberkesanan perayu undi dalam memastikan pengundi memilih berdasarkan parti dan tidak terpengaruh dengan apa-apa isu yang dibangkitkan oleh pihak lawan.

Katanya, PN jelas membawa naratif bahawa mengurangkan kerusi dapat mengurangkan mandat dua pertiga kerajaan Persekutuan, bagaimanapun pengundi kali ini dilihat lebih bersikap menyaksikan gelagat kepartian parti-parti bertanding.

"(Yang paling penting) adalah peranan jentera PH-BN untuk memastikan peratusan keluar mengundi tinggi. Saya jangkakan kemungkinan terdapat perpecahan di kalangan pengundi Melayu, justeru terpulang kepada peratusan pengundi bukan Melayu.

"Jadi yang penting kena pastikan ramai keluar mengundi dan meminimumkan undi protes selain meyakinkan pengundi atas pagar untuk mengundi PH-BN. Tempoh 48 jam ini adalah masa yang sangat kritikal,” kata beliau.

Menurutnya, tidak timbul isu pertikaian terhadap pemilihan calon bagi PH memandangkan calon Pulai Suhaizan Kaiat dekat dengan penyandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dan ia sekali gus memberi sentimen emosi serta simpati kepada mereka yang mahu melihat kesinambungan kerja-kerja Allahyarham.

Penganalisis politik Mujibu Abd Muis pula berkata, isu-isu yang dibangkitkan PN ketika kempen seperti keistimewaan Melayu, kerakyatan, ataupun mengenai keputusan Mahkamah Tinggi berhubung Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dijangka tidak memberi kesan signifikan kepada kempen.

"(Namun) soalnya siapa yang akan dapat kelebihan daripada isu-isu ini, sama ada PN dapat menarik undi Melayu atau undi pindah kepada mereka serta sejauh mana isu-isu ini memberi motivasi atau ilham kepada pengundi.

"Semasa PRN Johor, tidak ramai pengundi bukan Melayu dilihat keluar mengundi. Kita melihat trend itu ada untuk PRK ini. Pengundi Cina dilihat agak taktikal dan rasional. Ini sangat signifikan untuk PH kalau berjaya tarik pengundi bukan Melayu keluar mengundi, selain dapat undi daripada (orang-orang) UMNO,” kata.

Beliau yang juga Felo Penyelidik ILHAM Centre dan Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara itu berkata, peratusan keluar mengundi akan menjadi salah satu faktor kemenangan PH terutama di kerusi Pulai.

"Keupayaan PH untuk mempertahankan (kerusi Pulai) agak tinggi,” katanya sambil menambah kecenderungan PN yang dlihat lebih menyasarkan kerusi Simpang Jeram untuk menang bagi menguatkan lagi naratif mereka bahawa Melayu menolak BN dan UMNO, sekiranya menang.

Sepanjang kempen PRK, PN banyak tertumpu di Simpang Jeram dengan calon mereka Dr Mohd Mazri Yahya daripada PAS, menggunakan kelebihannya sebagai doktor pakar untuk mendekati pengundi.

Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya, di Pulai terdapat sebanyak 166,653 pengundi dengan 44.18 peratus atau 73,619 pengundi adalah Melayu, diikuti pengundi Cina sebanyak 40.46 peratus (67,434 orang), India sebanyak 12.31 peratus (20,508 orang), manakala kaum lain sebanyak 3.06 peratus (5,092 orang).

Di Simpang Jeram pula, terdapat 40,379 pengundi dengan 51.87 peratus (20,946 pengundi) adalah Melayu, 44.6 peratus (18,010 orang) adalah pengundi Cina, India sebanyak 2.53 peratus (1,022 orang dan kaum lain adalah 0.99 peratus (401 orang). - Bernama