Krisis keyakinan Kerajaan Perpaduan semakin parah

Ahmad Yahaya
Ahmad Yahaya
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) didakwa berdepan krisis keyakinan dan ia semakin meruncing.

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, ini dibuktikan dengan keputusan kes Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Lebih parah, katanya, apabila Ahmad Zahid yang juga pemimpin nombor dua negara dilantik bawah kepimpinan PH yang sebelum ini lantang melaungkan slogan tolak rasuah.

“Persoalan yang saya ingin lontarkan, adakah mereka berpandangan rakyat hari ini terlalu naif untuk menerima kenyataan bahawa kes Ahmad Zahid ditarik balik oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) sendiri tanpa ada sebarang 'tangan ghaib'?,” katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Khamis.

Ahmad berkata, sejak Anwar mengangkat Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri, telah wujud kebimbangan kemungkinan jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan itu akan menjadi 'speed bump' terhadap pengendalian 47 kes salah laku tersebut.

“Ternyata sangkaan itu benar. Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan selepas perbicaraan kes sejak November 2019, selepas 77 hari proses pendakwaan, selepas 114 saksi dipanggil memberi keterangan.

“Beliau akhirnya dilepas tanpa dibebaskan selepas mahkamah memutuskan kes beliau wujud prima facie,” katanya lagi.

Pesuruhjaya Pas Kedah itu menyifatkan keberadaan Ahmad Zahid di Putrajaya adalah suatu kesilapan dan bencana kepada negara.

Artikel Berkaitan:

“Sejak awal lagi sudah diingatkan mengenai kemungkinan perkara ini akan berlaku. Bukan sebab kita mahu mendahului keputusan mahkamah, tetapi dibimbangi akan ganggu ketelusan proses perbicaraan kes rasuah beliau,” ujarnya.

Menurutnya, ia berikutan kes tersebut sudah melalui fasa bela diri namun ditangguhkan dengan pelbagai alasan tidak munasabah.

“Ia bermula dengan pasport Ahmad Zahid dikemukakan semula secara kekal pada Mac lalu. Kemudian proses representasi yang berterusan dan kini berakhir dengan melepas tanpa membebaskan (DNAA).

“Memang tidak bebas sepenuhnya, tetapi cuba kita fikirkan, selepas segala beban pembuktian dikemukakan sehingga mengesahkan wujudnya prima facie kes, adakah pihak pendakwa raya akan membawa bukti lain atas pertuduhan ini? Ini tidak mungkin berlaku,” jelasnya lagi.

Ahmad sebaliknya berkata, itulah ‘skrip’ yang sememangnya sudah dijangkakan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Pihak pendakwaan mengemukakan 11 alasan ketika memohon kepada mahkamah.