Muallim Speed-Lane persediaan jayakan AHTV di Perak

Saarani (tengah) menyampaikan buku Manual Prosedur M-SL kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon (kanan) pada perasmian M-SL: Projek Kelulusan Pembinaan Secara Pantas di MDTM pada Khamis.
Saarani (tengah) menyampaikan buku Manual Prosedur M-SL kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon (kanan) pada perasmian M-SL: Projek Kelulusan Pembinaan Secara Pantas di MDTM pada Khamis.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Inisiatif Muallim Speed Lane (M-SL): Projek Pembinaan Pantas yang diperkenalkan Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) merupakan satu persediaan dalam menjadikan daerah Muallim sebagai pemain sektor automotif antarabangsa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kaedah pengeluaran Permit Pembinaan Secara Pantas itu membolehkan interaksi berkesan antara pelabur atau pemilik projek dan MDTM sekali gus menjayakan Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City di sini.

Menurut beliau, M-SL dijangka mampu memendekkan tempoh masa memproses dokumentasi daripada permohonan Kebenaran Merancang hingga mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan lesen perniagaan untuk memulakan operasi.

"Sasaran proses pelaksanaan M-SL ini akan dipantau sepenuhnya oleh Unit My-Mudah MDTM iaitu melibatkan fasilitasi awalan. Permohonan pelan pemajuan dicadangkan mengambil masa kurang 30 hari untuk diluluskan dan kerja awal di tapak boleh dilaksanakan.

Saarani menandatangani plak simbolik merasmikan M-SL: Projek Kelulusan Pembinaan Secara Pantas sambil diperhatikan Yang Dipertua MDTM, Mohd Ikram Ahmad (kanan).
Saarani menandatangani plak simbolik merasmikan M-SL: Projek Kelulusan Pembinaan Secara Pantas sambil diperhatikan Yang Dipertua MDTM, Mohd Ikram Ahmad (kanan).

"Pemantauan projek dan projek boleh disiapkan dalam tempoh ditetapkan manakala CCC dan lesen operasinya mengambil masa 24 jam untuk diproses," katanya kepada pemberita selepas merasmikan M-SL: Projek Kelulusan Pembinaan Secara Pantas di MDTM di sini pada Khamis.

Tambah Saarani, unit My-Mudah MDTM diwujudkan untuk melaksanakan semakan peraturan secara terancang bagi menambah baik persekitaran perniagaan dan daya saing industri.

Sementara itu, Saarani berkata, sebanyak 891 daripada 989 aduan rakyat telah berjaya diselesaikan dalam lapan siri penganjuran Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri 2023.

Artikel Berkaitan:

"Baki 97 aduan lagi masih dalam tindakan dan pemerhatian agensi. Kebanyakan aduan yang diterima berkaitan tanah yang memerlukan tindakan teknikal melibatkan agensi-agensi lain hingga mengambil masa yang lama.

"Yang lain berkaitan aduan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), musuh tanaman, anjing liar dan permohonan infrastruktur antaranya Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Air Perak dan lampu jalan yang boleh diselesaikan," katanya.

Katanya, penganjuran program ini merupakan komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan tradisi turun padang menyelami permasalahan rakyat.