Maqasid syariah Kedah sekadar kosmetik: Pemuda Pas Kedah

Nurul Amin Hamid
Nurul Amin Hamid
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah dianggap gagal menepati prinsip maqasid syariah susulan hanya gah mengumumkan projek-projek mega tanpa mendahulukan keperluan utama rakyat, sepanjang setahun mentadbir.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, prinsip maqasid syariah dalam urus tadbir kerajaan dilihat tidak berlaku bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah walaupun prinsip itu salah satu daripada enam strategi Belanjawan Kedah 2019, yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dakwa beliau, sepanjang tempoh setahun kerajaan PH memerintah, konsep maqasid syariah dan Rahmatan Lil Alamin hanya dilihat sebagai kosmetik untuk mencantikkan wajah kerajaan, bukan mendasari konsep berkenaan.

“Gandingan maqasid syariah dan konsep Rahmatan Lil Alamin sering dizahirkan seolah-olah kerajaan PH selari dengan syariat Islam,” katanya, di sini, hari ini.

Nurul Amin berkata, falsafah maqasid syariah itu tidak diterjemahkan dalam pentadbiran kerajaan PH Kedah.

“Contohnya, pengumuman tujuh projek berimpak tinggi bernilai RM3.2 bilion di Kedah oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Walaupun matlamat projek tersebut dilihat menguntungkan rakyat dalam jangka masa panjang, namun tidak mengutamakan keperluan asas rakyat seperti bekalan air dan pembinaan hospital,” katanya.

Menurutnya, dalam aspek memelihara agama, sepatutnya golongan agamawan diperkasa dan diberikan sokongan, namun sebaliknya kerajaan Kedah lebih menzahirkan kuasa dan jawatan.

Artikel Berkaitan:

“Ia digambarkan menerusi beberapa insiden antaranya, menggertak pegawai masjid yang mengkritik kerajaan, selain memecat imam yang tidak mengikut kehendak kerajaan negeri,” katanya.

Nurul Amin berkata, pendidikan Islam merupakan aspek utama yang harus menjadi agenda kerajaan, namun PH Kedah seolah tidak menjadikan ia agenda besar yang perlu diberi perhatian.

“Berbanding bajet sebelum ini yang jelas memberi peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), tahfiz serta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Bajet PH 2019 hanya dinyatakan akan mohon peruntukan kerajaan Pusat sahaja, dan berminat kepada pendidikan berorientasikan ekonomi dan industri berbanding pendidikan Islam,” katanya.