Harimau Muda lepasi halangan Bengal Tigers di Chonburi

Aliff Izwan meletakkan Harimau Muda B-23 di depan ketika menentang Bangladesh dalam perlawanan Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Chonburi pada Rabu. - Foto FAM
Aliff Izwan meletakkan Harimau Muda B-23 di depan ketika menentang Bangladesh dalam perlawanan Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Chonburi pada Rabu. - Foto FAM
A
A
A

SKUAD bola sepak Bawah 23 (B-23) tahun negara perlu lebih banyak melakukan kerja rumah menjelang aksi berdepan Filipina dan Thailand dalam dua baki perlawanan Kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Itu rumusan yang boleh dibuat terhadap penampilan pertama Harimau Muda B-23 selepas dipaksa bekerja lebih keras sebelum dapat menjinakkan Bangladesh, 2-0 di Stadium Chonburi, Thailand pada Rabu.

Anak-anak buah E Elavarasan yang merupakan pasukan pilihan dalam perlawanan ini bermula garang, namun beberapa percubaan gagal diterjemahkan barisan depan skuad muda negara dalam bentuk jaringan.

Harimau Muda berpeluang memimpin perlawanan, namun sentuhan minit ke-42 daripada Alif Ikmalrizal dinafikan perangkap ofsaid pasukan Bengal Tigers tersebut.

Selain corak bertahan penuh bersistematik dipamerkan angkatan muda Bangladesh menyaksikan kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan 0-0 untuk 45 minit pertama.

Separuh masa kedua, angkatan Elavarasan tampil lebih agresif menggandakan asakan terhadap benteng pasukan muda Bengal Tigers tersebut.

Gol dicari Harimau Muda akhirnya berjaya dijelmakan menerusi jaringan Aliff Izwan pada minit ke-81 yang kemudiannya dinoktahkan Fergus Tierney pada minit ke-94 untuk kemenangan 2-0.

Kelayakan Piala Asia B-23 2024 merupakan medan untuk skuad muda negara memperbaiki pencapaian selepas aksi hambar di Sukan SEA Kemboja 2023 dan Kejuaraan AFF B-23 sebelum ini dalam misi meraih slot automatik ke Qatar pada April tahun depan.

Artikel Berkaitan:

KELAYAKAN PIALA ASIA B-23 2024

KEPUTUSAN

Kumpulan H

RABU (6 SEPTEMBER)

Malaysia 2 - 0 Bangladesh,

Aliff Izwan 81’

Fergus Tierney 90’ 4’

JADUAL

SABTU ( 9 SEPTEMBER)

Malaysia lwn Filipina,

(Stadium Chonburi, 5.30 petang)

SELASA (12 SEPTEMBER)

Malaysia lwn Thailand,

(Stadium Chonburi, 9.30 malam)