Tiga mata suntik semangat Harimau Muda

Aliff Izwan (depan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukannya di Stadium Choburi pada Rabu. - Foto FB FAM
Aliff Izwan (depan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukannya di Stadium Choburi pada Rabu. - Foto FB FAM
A
A
A

PENGENDALI skuad bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara, E Elavarasan nyata lega selepas kemenangan 2-0 ke atas Bangaldesh dalam aksi sulung Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand pada Rabu.

Menurut Elavarasan, beliau berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan barisan pemainnya walaupun pasukan lawan memberikan tentangan yang sengit.

Malah, beliau berkata, Bangladesh juga bertahan dengan baik sehingga menyukarkan anak-anak buahnya untuk menjaringkan gol sepanjang aksi babak pertama.

“Paling penting kami meraih tiga mata dan akan melangkah ke hadapan untuk perlawanan seterusnya.

Secara keseluruhan kami bekerja sebagai satu pasukan.

“Pemain berdepan kesukaran untuk mendapatkan jaringan dan ia perlawanan yang sukar bagi kami.

Saya fikir pasukan lawan bertahan dengan baik dan kami cuba yang terbaik untuk mendapatkan gol.

“Seluruh pasukan bekerja keras untuk mencapai objektif dengan tiga mata ini sangat penting bagi kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Dalam aksi itu, Harimau Muda terpaksa menunggu sehingga minit ke-81 untuk memecahkan kebuntuan menerusi jaringan Aliff Izwan sebelum Fergus Tierney meledak gol kedua pada masa kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara menghuni tangga kedua Kumpulan H, berkongsi tiga mata bersama tuan rumah, Thailand yang berada di kedudukan teratas selepas membelasah Filipina 5-0.

Skuad Harimau Muda akan bertemu Filipina Sabtu ini sebelum mengakhiri aksi Kumpulan H menentang Thailand pada Selasa depan dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi.

Mengikut rekod pertandingan, 16 pasukan terdiri daripada 11 juara kumpulan dalam saingan kelayakan bersama-sama empat naib juara terbaik kumpulan dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di pusingan akhir di Doha tahun depan.