Harimau Muda waspada bola mati Thailand

Pemain Harimau Muda menjalani sesi latihan di EDU Stadium menjelang perlawanan kedua Kumpulan B Sukan SEA 2023 menentang Thailand di Phnom Penh Kemboja.
Pemain Harimau Muda menjalani sesi latihan di EDU Stadium menjelang perlawanan kedua Kumpulan B Sukan SEA 2023 menentang Thailand di Phnom Penh Kemboja.
A
A
A

PENJAGA gol skuad Bawah 22 (B-22) tahun negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengingatkan rakan sepasukan agar berwaspada dengan gerakan terancang Thailand pada aksi kedua Kumpulan B Sukan SEA 2023 Kemboja pada Sabtu.

Sikh Izhan berkata, penelitian telah dilakukan menerusi video analisis bagi mengkaji ketajaman barisan serangan Thailand yang mungkin boleh mengundang ancaman berbahaya kepada gawang negara menerusi set piece dalam perlawanan berlangsung di Stadium Prince.

“Kami juga perlu sedar dengan hantaran merbahaya dibuat pemain tengah pasukan Thailand dan lebih fokus kepada bahagian pertahanan.

“Malah selain muka baharu, ada dalam kalangan mereka bermain di pasukan senior dan liga utama, jadi mereka punya kematangan lebih baik tetapi kita juga ada kelebihan dibarisi pemain yang beraksi di Liga Super,” katanya kepada media Malaysia pada sesi latihan di Stadium EDC, pada Jumaat.

Selain berhati-hati dengan permukaan padang, Sikh Izhan juga berharap dapat menambah baik aspek komunikasi bersama benteng pertahanan agar insiden yang berlaku pada perlawanan pertama sewaktu membelasah Laos 5-1 tidak berulang lagi.

Selepas mendahului perlawanan hasil jaringan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, gawang negara bolos menerusi jaringan sendiri pemain sama ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang Phetdavanh Somsanid pada minit ke-21, untuk lawan menyamakan kedudukan sebelum Malaysia berjaya membawa pulang tiga mata penuh Rabu lepas.

Dalam pada itu, penyerang, Muhammad Aliff Izwan Yuslan pula berkata, mereka sedang menumpukan usaha mempertajamkan teknik penyudah terutamanya menghasilkan jaringan menerusi set piece menentang naib juara edisi 2021.

Muhammad Aliff juga mengakui sedikit tertekan menjelang aksi berdepan juara 16 kali tersebut kerana apa jua keputusan dilakar anak buah E Elavarasan esok bakal mencerminkan nasib pasukannya memandangkan mereka turut diundi bersama juara bertahan, Vietnam dalam Kumpulan B.

Bagaimanapun, pemain berusia 19 tahun itu tetap berharap dapat membantu pasukan negara menamatkan kemarau 'ibu segala pingat' selama 12 tahun dalam penampilan pertamanya di pentas Sukan SEA di sini.

Malaysia dan Thailand yang baru bermain satu perlawanan, masing-masing meraih tiga mata di tempat kedua dan ketiga dalam saingan kumpulan, sementara Singapura dan Laos di kedudukan tercorot selepas gagal mengutip mata dalam dua perlawanan pertama.

Vietnam selaku juara bertahan pula menerajui saingan dengan enam mata selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut. - Bernama