Al-Qalam santuni 77 orang asnaf

Baharudin (depan, sebelas dari kanan) bergambar bersama penerima wang zakat sumbangan Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia hari ini.
Baharudin (depan, sebelas dari kanan) bergambar bersama penerima wang zakat sumbangan Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia hari ini.
A
A
A

TELUK INTAN - Seramai 77 orang asnaf dari Kampung Kunci Air 4 di sini diraikan oleh Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia bersempena Ramadan kali ini.

Pengasas dan Presiden Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia, Datuk Seri Baharudin Abu berkata, kesemua asnaf berkenaan menerima bantuan wang zakat dengan jumlah hampir RM12,000.

"Alhamdulillah hari ini (semalam) Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia meraikan 77 asnaf sempena Program Sentuhan Kasih Ramadan serta iftar bersama penduduk kampung.

"Hampir RM12,000 wang zakat sumbangan daripada saya sendiri serta beberapa pesakit yang mendapatkan rawatan dengan Al-Qalam dan berjaya sembuh diberikan kepada asnaf yang terlibat," katanya selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di Surau Al-Taufiqiyyah di sini hari ini.

Menurut Baharudin, Perak menjadi lokasi ketiga Program Sentuhan Kasih Ramadan anjuran pertubuhannya itu selepas diadakan di Puchong, Selangor awal Ramadan lalu.

"Saya berharap dengan sumbangan ini dapat meringankan beban yang kurang berkemampuan dalam meraikan bulan Ramadan ini," katanya.

Baharudin turut menyeru agar semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memanfaatkan kedatangan Ramadan dengan menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan.

"Berzakat dapat membersihkan diri kita daripada dosa dan mendapat keberkatan ALLAH S.W.T. Saya berharap kesempatan yang ada ini turut direbut NGO di luar sana untuk membantu golongan kurang berkemampuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, salah seorang penerima wang zakat tersebut, Mohd Asri Omar, 48, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diterima daripada Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia yang disampaikan sendiri oleh pengasasnya yang juga anak jati kampung itu.

"Wang yang diterima ini sedikit sebanyak meringankan beban kami golongan kurang berkemampuan dalam meraikan Ramadan kali ini," katanya.