Anthony Loke perlu jaga sensitiviti rakan dalam Kerajaan Perpaduan

Anthony Loke, Nur Jazlan
Anthony Loke, Nur Jazlan
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO menasihatkan rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan agar menjaga sensitiviti antara satu sama lain dalam memastikan kerjasama politik berkenaan kekal utuh sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tidak seharusnya membuat kenyataan terbuka mengenai isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk lepas tanpa membebaskan (DNAA) 47 kes yang melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid termasuk meminta penjelasan daripada Peguam Negara mengenai kes terbabit.

Jelas beliau, pemimpin DAP sepatutnya berlaku adil dengan Zahid kerana pada 2018 ketika kes membabitkan bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng digugurkan tuduhan atas permintaan Peguam Negara (AG) ketika itu, Anthony Loke juga tidak minta penjelasan daripada Tommy Thomas.

“Dalam kes Guan Eng sebelum ini, saya ada buat carian di internet, kalau-kalau ada kenyataan daripada Anthony Loke atau mana-mana pemimpin PN masa itu meminta Peguam Negara beri penjelasan apabila pihak AGC bertindak buat permohonan untuk gugurkan tuduhan itu yang juga sudah menjalani perbicaraan kes yang lama.

“Jenuh saya cari tapi tak jumpa. Cuma sebagai seorang kawan, saya nak kongsi nasihat kepada Anthony Loke macam yang dia selalu cakap, kita berkawan dalam Kerajaan Perpaduan, jadi seeloknya perkara-perkara sensitif babitkan kawan-kawan kita kenalah bincang sesama kita saja.

“Bukannya kita bercakap secara terbuka sampai orang lain pun boleh tumpang sekaki kutuk kawan kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Menurut Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, beliau tahu Anthony Loke bimbang mengenai perkembangan terbaharu kes Zahid ini akan menjejaskan undi calon Pakatan Harapan (PH) di PRK Parlimen Pulai pada Sabtu nanti.

Namun daripada pengamatannya iaitu selepas Guan Eng didakwa sehingga kes itu digugurkan pertuduhan oleh Jabatan Peguam Negara, beliau melihat undi Cina kepada PH terutamanya DAP tidak menurun malah bertambah dengan luar biasa pada PRU15 lalu.

Artikel Berkaitan:

“Jadi Anthony Loke tak perlu risaulah kononnya isu terbaharu Ahmad Zahid ini akan menjejaskan undi kepada calon Amanah nanti. Sebabnya sejak 2008 lagi, pembangkang ketika itu dah bekerja keras untuk kalahkan saya di Pulai.

“Macam-macam naratif yang mereka gunakan untuk buatkan pengundi di Pulai terutamanya pengundi Cina menolak saya sebagai calon BN. Akhirnya selepas 10 tahun baharu mereka berjaya tewaskan saya sebanyak dua kali dengan bantuan undi Cina.

“Pokok pangkalnya orang Cina di Pulai tak akan terjejas sokongan mereka kepada PH walaupun calon Amanah yang bertanding di kerusi ini. Sebagaimana orang Cina percayakan keadilan sistem kehakiman kita selepas kes Guan Eng digugurkan, saya percaya begitu juga keyakinan mereka masih sama dalam kes Zahid ini,” ujarnya.

Jelas Nur Jazlan, dalam tempoh beberapa hari terakhir ini, Anthony Loke dan jentera DAP sepatutnya bekerja lebih kuat lagi untuk pastikan pengundi Cina di Parlimen Pulai keluar beramai-ramai mengundi serta memenangkan calon Amanah.

Katanya, Sabtu ini adalah ujian besar kepada PH sama ada calon yang dipertaruhkan mereka mampu mempertahankan kerusi Parlimen Pulai sekali lagi. Pas atau tak Pas periksa PH-BN kerana calon itu daripada Amanah.

“Anthony Loke tak perlu bimbang kononnya Zahid akan jadi liabiliti kepada Kerajaan Perpaduan ini pada PRK Pulai sebab saya pun sudah terima hakikat bahawa imej Zahid sudah lama dirosakkan oleh naratif penuh persepi pihak pembangkang termasuk PH sejak UMNO-BN kalah pada PRU14 lalu.

“Lagipun saya percaya rakyat Pulai sudah buat keputusan mereka sebelum kes Ahmad Zahid ini muncul Isnin lepas.

“Cuma DAP dan Amanah kena 'all out' untuk hari-hari terakhir ini bagi ajak pengundi Cina keluar mengundi. Jentera UMNO dan Barisan Nasional (BNK sudah bertungkus lumus membantu kempen calon PH sejak hari pertama lagi,” katanya.