FAR Capital mahu lihat lebih ramai B40, M40 miliki rumah sendiri

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SYARIKAT pelaburan hartanah, FAR Capital Sdn Bhd, berhasrat untuk melihat lebih banyak golongan berpendapatan pertengahan (M40) dan berpendapatan rendah (B40) memiliki rumah mereka sendiri dengan modal yang sedikit atau tidak ada langsung modal, selain mendapat diskaun.

Pengasas dan ketua pegawai eksekutifnya, Faizul Azwan Ridzuan berkata, dengan pendidikan kewangan yang betul dan kesedaran tentang produk kewangan, golongan M40 dan B40 bukan sahaja akan dapat memiliki hartanah sendiri tetapi juga dapat melepaskan diri daripada beban kewangan dan meningkatkan pendapatan mereka.

Faizul Azwan yang memiliki pengalaman luas dalam industri perbankan dan juga merupakan seorang pelabur hartanah berkata, syarikat itu mampu menawarkan diskaun kira-kira 20-40 peratus daripada harga jualan asal hartanah tersebut, menjadikannya lebih mampu milik kepada rakyat Malaysia.

"Kami berharap dapat meningkatkan taraf kewangan 5,000 keluarga Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang manakala pada masa yang sama, kami menyasar untuk mengosongkan lebihan, inventori (hartanah) yang tidak terjual di Malaysia," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, sebagai syarikat yang berurusan dengan urus niaga hartanah, ia memahami keperluan orang ramai terutama pembeli rumah kali pertama, dan juga memainkan peranannya sebagai penyemak silang antara pemaju dan pembeli hartanah kepada kerajaan sambil mengimbangi kesaksamaan pelangggannya dengan 65 peratus adalah Bumiputera manakala selebihnya bukan Bumiputera.

Membeli hartanah pada harga mampu milik dan diskaun

FAR Capital bermula pada 2014 dan sejak itu, syarikat tersebut telah memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 pelanggannya kebanyakannya daripada kumpulan M40 dan B40 menerusi pelaburan hartanah.

Pelaburannya tertumpu kebanyakannya kepada unit kediaman bertingkat tinggi kerana ia adalah segmen inventori yang paling banyak tidak terjual oleh pemaju.

Artikel Berkaitan:

Ini juga kerana dari segi sewaan, beliau berkata kediaman bertingkat tinggi lebih sesuai untuk menampung gadai janji atau sekurang-kurangnya bahagian faedah gadai janji tersebut berbanding kediaman bertanah pada lazimnya tidak mencukupi untuk menampung untuk membayar faedah gadai janji tersebut.

"Kami mahu membantu golongan berpendapatan rendah untuk mengurus dan memiliki harta, membolehkan mereka yang mempunyai gaji pokok sebanyak RM3,000 sebulan memiliki tiga hingga empat hartanah tanpa menggunakan modal atau secara literal tiada modal," kata Faizul Azwan.

Beliau berkata syarikat itu akan mendekati pemaju dengan unit tidak terjual kediaman bertingkat tinggi di mana ia akan berunding untuk mendapatkan kadar diskaun yang munasabah untuk membeli unit tersebut berbanding dengan apa yang cuba dijual oleh pemaju kepada orang ramai.

"Dari sudut pandangan pemaju, mereka boleh menerima diskaun jika mereka dijamin memperoleh jualan dan deposit tertentu.

"Sebagai contoh, ‘Meta City’, pembangunan berorientasikan transit pembangunan campuran di Seri Kembangan. Harga dijual pemaju adalah kira-kira RM700,000 tetapi mereka tidak mampu menjual kesemuanya dan tidak ramai yang mampu membelinya...kami dapat berunding dan berjaya mendapatkannya pada harga RM480,000 kerana kami mempunyai volum untuk membeli,” katanya.

Sejak penubuhannya, syarikat itu telah menguruskan hartanah bernilai lebih RM1 bilion.

Tawar rumah sewa pada kadar berpatutan

Dengan membeli hartanah pada kadar lebih murah, syarikat itu juga mahu menjadikan kediaman lebih murah untuk orang ramai menyewa, justeru ia telah memperkenalkan ‘Utopia Co-Living’ dengan menukar unit kediaman tiga bilik tidur kepada unit empat bilik tidur, menjadikannya sebuah kondominium atau apartmen dilengkapi perabot untuk kekal mampu milik bagi golongan muda yang bekerja terutamanya di kawasan bandar di Lembah Klang.

"Apabila kami melakukan ini, ramai golongan elit atau golongan berpendapatan tinggi (T20) tidak berpuas hati kerana penyewa ini tidak mencapai standard pendapatan mereka dan larangan pemasangan pembahagi (partition) oleh pihak berkuasa tempatan baru-baru ini mungkin akan menjejaskan golongan muda yang mahu mencari rumah yang boleh berkongsi.

"Larangan berkenaan dijangka akan mengakibatkan kehilangan tawaran untuk sewa bilik kira-kira 20-30 peratus. Apabila tiada tawaran sewa bilik, kadar sewa bilik diunjurkan akan melonjak sekitar 40-50 peratus. Golongan muda dan golongan berpendapatan rendah akan terjejas kerana mereka memerlukan kediaman untuk disewa,” katanya.

Faedah menjadi pelanggan FAR Capital

Untuk menikmati faedah-faedah tersebut, individu perlu menjadi pelanggan FAR Capital.

Dengan bayaran antara RM1,000 hingga RM6,000 setiap pelanggan, mereka bukan sahaja boleh membeli hartanah pada harga diskaun tetapi juga mendapat pengetahuan tentang aset gred pelaburan dan bagaimana mereka boleh menjana wang melalui penyewaan aset mereka, mengurangkan hutang komitmen bulanan mereka dan meningkatkan tahap pendapatan mereka pada masa yang sama.

"Kami akan meneliti penyata kewangan mereka, termasuk CTOS (agensi pelaporan kredit) dan status CCRIS (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat) untuk mengira jumlah pinjaman yang boleh diperolehi individu dan memberi nasihat sewajarnya mengenai pasaran hartanah yang sesuai dengan mereka.

"Kami juga akan membimbing dan mengajar pelanggan kami cara mendapatkan pendapatan aktif, pasif dan sampingan," katanya.

Melangkah ke hadapan

Faizul Azwan berkata, syarikat yang membantu Malaysia menangani isu lambakan oleh pemaju hartanah memperoleh aliran tunainya daripada yuran yang dikenakan kepada pelanggan dan daripada pemaju bagi setiap unit yang dijual.

Syarikat itu kemudiannya menggunakan semula wang itu untuk mendapatkan konsainan atau penaja jamin untuk pemaju hartanah membeli hartanah pada kadar diskaun berbanding apa yang seseorang itu boleh dapatkan jika mereka masuk ke galeri jualan pemaju.

"Hari ini kami menggunakan modal sekitar RM10 juta hingga RM20 juta.

"Tetapi jika kita mampu untuk disenaraikan di Bursa Malaysia, yang kita jangkakan pada suku terakhir 2024 atau suku pertama 2025, bayangkan jika kita mempunyai RM100 juta atau lebih...kita boleh melakukan ini dengan lebih agresif dengan lebih ramai pemaju dan dapatkan lebih banyak diskaun,” katanya. - Bernama