Penahanan Jasmine bukan jaminan dapat berkas Jho Low - SPRM

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA pada Rabu. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA pada Rabu. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SEPANG - Kejayaan menahan bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan bukan satu jaminan bahawa Low Taek Jho atau Jho Low akan dapat diberkas dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, dia secara peribadi tidak merasakan ahli perniagaan dalam buruan berhubung kes 1MDB itu boleh dikesan dan ditahan untuk tempoh terdekat.

Beliau berkata, masih terlalu jauh dan tidak dapat diyakini untuk menjejaki 'master mind' kes berprofil tinggi tersebut.

Jelas beliau, masih banyak faktor perlu diambil kira termasuk tempoh siasatan ke atas Jasmine.

"Dia (Jasmine) pada masa ini dalam siasatan dan soal siasat bersama SPRM sejak Isnin bagi kes penggubahan wang haram serta rasuah.

"Meskipun dia bukan ditahan di SPRM tetapi di bawah kawalan pihak polis, namun kita mendapat kerjasama dan bantuan polis untuk menyiasatnya.

"Setakat ini tempoh soal siasat adalah selama tiga hari tetapi kalau ada keperluan untuk menyambung siasatan, kami akan minta bantuan pihak polis," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menyatakan kesemua aset diperoleh Jasmine adalah hasil daripada penyelewengan dana 1MDB dan hadiah daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Antara aset dirampas dan dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merupakan milik Jasmine adalah bernilai RM93.2 juta.

Jasmine yang dilantik sebagai penasihat undang-undang 1MDB menerima bayaran gaji bulanan berjumlah RM40,000 sejak Mei 2011.

Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM dan PDRM sedang berusaha untuk membawa pulang sekiranya masih ada lebihan wang daripada siasatan yang dilakukan ketika ini.

Namun begitu katanya, apa yang diperoleh dan dikesan pada masa ini adalah seperti apa yang telah disita baru-baru ini.

"Tetapi setakat ini, jumlah wang yang berjaya dibawa balik dan itulah jumlahnya.

"Saya tidak pasti daripada apa yang kita siasat pada masa ini, ada atau tidak lagi harta atau wang yang akan diperoleh selepas ini," ujarnya.