Iktibar di sebalik kematian Hattem

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KEMATIAN pelumba drag, Muhammad Hattem Rashdi, 22, akibat kemalangan di litar lumba ketika menyertai Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 di Pekan, Pahang nyata mengejutkan banyak pihak.

Pemergian pelumba yang mewakili pasukan ESR Motor itu bukan sahaja dirasai ahli keluarga, malah rakan dan kenalan apabila ribuan hadir mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan.

Difahamkan kira-kira 3,000 sahabat serta peminat menziarahi termasuk mengiringi pengebumian Allahyarham dengan mengusung jenazah dari rumahnya ke Masjid Kampung Padang Lalang, Alor Setar, Kedah sejauh 250 meter untuk disembahyangkan, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Lalang pada jam 12 tengah hari pada Selasa.

Hattem meninggal dunia apabila motosikal ditunggangnya terbabas pada hari pertama perlumbaan di Litar Speedway pada jam 12.30 tengah malam, Ahad lalu.

Mangsa yang mewakili ESR Motor menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan menghembuskan nafas terakhir pada petang Selasa selepas bertarung nyawa lebih 12 jam.

Di sebalik kematiannya, apa yang lebih mengejutkan adalah apabila Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengesahkan perlumbaan drag yang disertainya tidak diiktiraf dan tidak mendapat kelulusan persatuan berkenaan.

Menurut MAM, sukan permotoran merupakan sukan yang berbahaya dan mana-mana pihak yang ingin menyertainya sama ada penganjur, pemilik litar atau pelumba, wajib mematuhi peraturan serta protokol ketat yang ditetapkan.

Susulan itu, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan menjalankan siasatan terperinci terhadap penganjuran perlumbaan ‘Malaysia Drag Bike National ET Record Championship Road Tour 2023’ selepas didapati tidak mendapat kelulusan badan pengelola sukan permotoran negara.

Artikel Berkaitan:

PJS dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, semakan awal mendapati kejohanan itu tidak mendapat kebenaran Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan siasatan terperinci akan dijalankan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) sama ada terdapat sebarang pelanggaran akta.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga mahu penganjur perlumbaan drag mengambil tanggungjawab atas insiden malang yang menyebabkan kematian Hattem.

Ketua Setiausaha (KSU) KBS, Dr K Nagulendran berkata, perlumbaan itu tidak mendapat kelulusan dan kementerian akan mengadakan perbincangan serta melakukan tindakan susulan dengan MAM.

Diharapkan kejadian ini menjadi iktibar kepada pihak yang terlibat dan mana-mana penganjur selepas ini agar mendapat kelulusan terlebih dahulu serta memastikan aspek keselamatan dalam sebarang penganjuran perlumbaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelumba drag Hattem Rashdi maut kemalangan di litar lumba

Ribuan iringi perjalanan terakhir Hattem

Hattem penyayang, taat ibu bapa dan suka bersedekah - Kakak

Pelumba drag maut, penganjur perlu ambil tanggungjawab - KBS

Perlumbaan drag ragut nyawa tiada pengiktirafan MAM