[VIDEO] Ribuan iringi perjalanan terakhir Hattem

A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Jenazah pelumba drag, Muhammad Hattem Rashdi, 22, yang meninggal dunia akibat kemalangan di litar lumba ketika menyertai Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Lalang pada Selasa.

Pemergian pelumba yang mewakili pasukan ESR Motor itu bukan sahaja dirasai ahli keluarga malah rakan dan kenalan apabila ribuan hadir mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan.

Difahamkan kira-kira 3,000 sahabat serta peminat menziarahi termasuk mengiringi pengebumian Allahyarham dengan mengusung jenazah dari rumahnya ke Masjid Kampung Padang Lalang di sini sejauh 250 meter.

Jenazah disembahyangkan di masjid tersebut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Lalang pada jam 12 tengah hari pada Selasa.

Sahabat dan peminat mengiringi jenazah Allahyarham Muhammad Hattem menuju ke Masjid Kampung Padang Lalang, Alor Setar pada Selasa.
Sahabat dan peminat mengiringi jenazah Allahyarham Muhammad Hattem menuju ke Masjid Kampung Padang Lalang, Alor Setar pada Selasa.




Ibu Allahyarham, Munirah Ahmad, 58, berkata, dia reda dengan pemergian anak bongsu daripada lima beradik itu.

"Kami tidak sangka orang begitu ramai datang ziarah arwah Hateem dari seluruh negeri termasuk Johor dan Kelantan.

"Semasa sedang ditidurkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), saya sudah menyatakan saya reda.

"Saya sempat bisik di telinga arwah... Mama halalkan air susu mama....Mama ampunkan semua dosa dan sayangkan adik.... Tunggu mama di syurga ya.

Artikel Berkaitan:

Munirah menunjukkan gambar anak bongsunya, Allahyarham Muhammad Hattem.
Munirah menunjukkan gambar anak bongsunya, Allahyarham Muhammad Hattem.

"Hattem ada bagi reaksi masa ayahnya baca surah Yasin, air mata keluar, mata terkedip dan jari telunjuk kanan juga bergerak sedikit," ujarnya yang ditemui di rumahnya di Kampung Padang Lalang, dekat sini pada petang Selasa.

Mengimbau kembali kenangan sebelum anaknya itu bertolak ke Pekan pada petang Jumaat, Munirah berkata, Allahyarham dilihat mengambil masa lama untuk keluar dari rumah.

Munirah menunjukkan gambar anak bongsunya, Allahyarham Muhammad Hattem.
Munirah menunjukkan gambar anak bongsunya, Allahyarham Muhammad Hattem.

"Hattem salam mak cik dua kali, minta maaf pada semua orang dalam rumah tidak seperti kebiasaan.

"Dia pusing dua kali dalam rumah sebelum keluar dan menaiki kereta bersama seorang kawannya.

"Apabila sampai di Mergong, mereka kemudiannya patah balik untuk mengambil topi Hattem yang tertinggal di dalam rumah. Dia tidak turun kereta tapi kawannya yang tolong ambilkan," ceritanya.

Munirah berkata, dia juga tidak pernah ketinggalan menyaksikan perlumbaan drag yang disertai oleh Allahyarham sebelum ini melalui siaran langsung di media sosial.

"Pada malam itu, mak cik tonton juga dan lihat dia terlibat kemalangan sebelum siaran langsung tersebut dimatikan. Mak cik ingat kemalangan biasa," katanya lagi.

Sahabat dan peminat mengiringi jenazah Allahyarham Muhammad Hattem menuju ke Masjid Kampung Padang Lalang, Alor Setar pada Selasa.
Sahabat dan peminat mengiringi jenazah Allahyarham Muhammad Hattem menuju ke Masjid Kampung Padang Lalang, Alor Setar pada Selasa.

Pada Isnin media melaporkan Allahyarham Muhammad Hattem, peserta Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih 12 jam akibat kemalangan di Pekan selepas motosikal ditungganginya terbabas.

Mangsa mewakili ESR Motor terbabit kemalangan pada hari pertama perlumbaan pada 1 pagi Ahad lalu dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke HTAA disebabkan keadaannya yang semakin tenat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelumba drag Hattem Rashdi maut kemalangan di litar lumba

Pelumba drag maut, penganjur perlu ambil tanggungjawab - KBS

Perlumbaan drag ragut nyawa tiada pengiktirafan MAM