Pelumba drag maut, penganjur perlu ambil tanggungjawab - KBS

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mahu penganjur perlumbaan drag mengambil tanggungjawab di atas insiden malang yang menyebabkan kematian pelumba drag profesional, Hattem Rashdi selepas terbabit dalam kemalangan di Pekan, Pahang pada Ahad lalu.

Ketua Setiausaha KBS, Dr K Nagulendran berkata, penganjuran Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 itu tidak mendapat kelulusan daripada Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).

“Perlumbaan itu tidak mendapat kelulusan MAM. Kami (KBS) sudah membuat semakan. Selepas ini, kami akan adakan perbincangan dan melakukan tindakan susulan dengan MAM.

“MAM juga perlu melakukan tindakan susulan dengan penganjur berhubung insiden tersebut,” katanya dalam sidang media Hari Sukan Negara (HSN) 2023 di Menara KBS, Putrajaya pada Selasa.

Beliau berkata, KBS sentiasa mempromosi penganjuran sukan secara selamat yang bukan sahaja melibatkan fizikal, tetapi daripada aspek mental melalui Kod Sukan Selamat berkaitan perlakuan buli dan gangguan seksual.

“Aktiviti (perlumbaan) hujung minggu lalu kita sudah semak. Ia tidak mendapat kelulusan dan bukan program yang disokong KBS.

“Kita harap semua persatuan dan kelab sukan jalankan aktiviti dengan mendapat kelulusan daripada persatuan sukan masing-masing.

“Mereka juga perlu mendaftar dan mendapat kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan. Kami kesal insiden ini berlaku, penganjur harus bertanggungjawab, saya tidak rasa ia sesuatu yang betul mengadakan perlumbaan tanpa kelulusan dan langkah-langkah keselamatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang berusia 22 tahun terbabit kemalangan pada hari pertama perlumbaan pada jam 1 pagi Ahad lalu di Pekan selepas motosikal ditungganginya terbabas.

Hattem yang mewakili pasukan berpangkalan di Perlis, ESR Motor dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan memandangkan keadaannya makin tenat.

Pemilik ESR Motor, Adib Affandi Mohamad memaklumkan Hattem disahkan meninggal dunia pada jam 3.45 petang Isnin dan jenazahnya akan dibawa ke kampung halaman di Alor Janggus, Kedah untuk urusan pengebumian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!