Bekalan beras putih tempatan pulih dalam tempoh sebulan - Mohamad Sabu

Mohamad Sabu meninjau stok BPT di sebuah pasar raya di Tampoi, pada Selasa.
Mohamad Sabu meninjau stok BPT di sebuah pasar raya di Tampoi, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan bekalan beras putih tempatan (BPT) akan pulih dalam tempoh sebulan susulan langkah intervensi yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah intervensi melalui Program Khas BPT akan meningkatkan lebih 20 peratus kuota pengeluaran beras di pasaran di seluruh negara.

"Menerusi Program Khas BPT ini, bekalan beras putih tempatan akan dapat dipulihkan dalam tempoh sebulan.

"Dalam masa yang sama, pemantauan berterusan akan dilakukan melalui kolaborasi bersepadu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Op Jamin.

"Saya turut meminta pengguna tidak risau atau panik sehingga melakukan pembelian beras putih tempatan secara berlebihan," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan stok keterjaminan makanan di sebuah pasar raya di Tampoi pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Pada 2 September lalu, pengilang padi dan pemborong beras negara dilaporkan diminta untuk meningkatkan bekalan BPT sebanyak 20 peratus menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan, sebagai langkah intervensi memulihkan bekalan itu di pasaran.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan dilaporkan memaklumkan, hasrat itu telah dipersetujui pengilang padi dan pemborong beras dalam satu sesi libat urus pada 27 Ogos lalu, di Alor Setar, Kedah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, beliau akan mengadakan satu lagi sesi libat urus dengan pengilang dan pemegang taruh industri beras negara, Khamis ini.

"Kementerian akan adakan sidang media khas selepas sesi itu bagi menerangkan kaedah dan mekanisme penyelesaian jangka pendek dan panjang bagi menangani isu BPT," ujarnya.

Dalam pada itu, pihaknya juga yakin projek tanaman beras SMART SBB Mini Sekinchan MADA-BERNAS akan dapat meningkatkan lagi pengeluaran beras sekali gus memastikan bekalan BPT negara dapat ditambah.

"Jika dilihat hasil SMART SBB Mini Sekinchan ini hasil pengeluaran BPT sudah meningkat kepada lebih tiga tan kepada 14 tan berbanding hanya 11 tan semusim.

"Tahun hadapan kementerian akan meningkatkan peruntukan bagi padi beras bagi memastikan infrastruktur pengairan sawah mencukupi bagi meningkatkan produktiviti penghasilan BPT selain menambah satu lagi musim penghasilan beras kepada lima musim dalam tempoh dua tahun," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Harga beras import naik: Permintaan beras putih tempatan meningkat

KPDN terima 47 aduan berkaitan isu beras dalam tempoh Ops Jamin

Presma tak naik harga nasi

KPKM jumpa Bernas, pesawah Khamis ini bincang bekalan beras

Selesai masalah bekalan beras

Harga beras putih import naik 36 peratus

Guna tanah terbiar untuk tanam lebih banyak padi - CAP