Gesa henti aktiviti kuari di kawasan berisiko

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Tan Kar Hing
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Tan Kar Hing
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak digesa bertindak segera termasuk menghentikan aktiviti pengkuarian bagi menangani kes-kes kematian di tapak kuari yang berlaku berulang kali terutama di kawasan Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini.

Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berkata, insiden maut melibatkan pekerja kuari yang berlaku dalam tempoh singkat sesuatu yang amat dikesali.

Sehubungan itu beliau berkata, amat wajar jika semua aktiviti pengkuarian yang terletak di kawasan berisiko tinggi dihentikan bagi mengelak insiden sama berulang.

"Saya juga mencadangkan agar kerajaan negeri menubuhkan pasukan khas yang melibatkan agensi dan jabatan yang berkaitan bagi menyiasat dan mengemukakan laporan siasatan terperinci.

"Laporan siasatan itu pula perlu dibentangkan kepada pengetahuan orang awam," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Sementara itu, Kar Hing turut mencadangkan supaya dasar perlombongan yang sedia ada dikaji semula bagi memastikan pembangunan industri perlombongan yang lebih mampan dan lestari.

Terdahulu, seorang pekerja asing maut dalam kejadian runtuhan batu kapur di sebuah tapak kuari di Jalan Cameron Highlands-Keramat Pulai dekat Simpang Pulai pada Selasa.

Kejadian tersebut merupakan kali kedua berlaku sejak Mac 2022 yang melibatkan kematian di lokasi berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Pada 8 Mac 2022, media melaporkan dua mangsa warga tempatan maut selepas tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini.