Kekurangan pekerja asing tiga sektor tidak lebih 30,000 orang

Sivakumar (kanan) pada sidang media selepas membuat tinjauan ke premis perniagaan susulan kelulusan sebahagian permohonan pengambilan pekerja warga asing bagi tiga sektor yang melibatkan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas di Little India Jalan Tengku Kelana Klang, pada Selasa. - Foto Bernama
Sivakumar (kanan) pada sidang media selepas membuat tinjauan ke premis perniagaan susulan kelulusan sebahagian permohonan pengambilan pekerja warga asing bagi tiga sektor yang melibatkan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas di Little India Jalan Tengku Kelana Klang, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Kekurangan pekerja asing bagi tiga sektor melibatkan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas dalam negara setakat ini tidak melebihi 30,000 orang.

Menteri Sumber, Manusia V. Sivakumar berkata, ia berikutan kementeriannya menerima pelbagai aduan daripada ketiga-tiga sektor berkenaan berhubung keperluan mengambil pekerja warga asing.

Bagaimanapun, katanya, jumlah sebenar pengambilan pekerja asing itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini.

"Kita sememangnya amat memahami keperluan mendesak ketiga-tiga sektor tersebut. Susulan itu, satu perbincangan terperinci di peringkat Kabinet perlu dilakukan bagi menentukan jumlah pekerja dan mekanisme terbaik menyelesaikannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau premis perniagaan di Little India, Jalan Tengku Kelana, di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor itu yang dibekukan sebelum ini.

Bagaimanapun, Anwar meletakkan syarat agar golongan belia tempatan diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja di tiga sektor berkenaan.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, pihaknya memberi jaminan akan memastikan tidak ada pihak menyalahgunakan permohonan bagi pengambilan pekerja asing dan ia akan dilaksanakan mengikut keperluan. - Bernama

Artikel Berkaitan: