Pahang catat RM836.4 juta kutipan hasil hingga 4 September

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berucap pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di DUN Pahang, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berucap pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di DUN Pahang, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Pahang merekodkan kutipan hasil RM836.4 juta sehingga 4 September tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sasaran kutipan hasil RM1.08 bilion tahun ini dijangka mampu di capai dalam tempoh berbaki empat bulan.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan kedudukan kewangan negeri berada dalam keadaan yang baik dan memberangsangkan.

"Saya optimis sasaran itu mampu capai berdasarkan pelan dan strategi yang sedang laksanakan antaranya Karnival Tanah Pahang yang giat diadakan di seluruh daerah bagi memastikan pemilik tanah melaksanakan tanggungjawab membayar hasil tanah mereka.

"Seperti yang sering saya tekankan, kutipan hasil ini tidak akan membebankan rakyat sebaliknya peningkatan yang dicapai itu berdasarkan tindakan kerajaan negeri meningkatkan kecekapan pentadbiran, mengurangkan ketirisan dan kebocoran serta melaksanakan inisiatif-inisiatif baharu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penangguhan Sidang DUN Pahang kali Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Wan Rosdy berkata, melalui hasil itu, kerajaan negeri terus berupaya menjaga kebajikan rakyat menerusi beberapa bentuk bantuan termasuk Bantuan Prihatin Pahang dengan peruntukan RM42.4 juta dan pelbagai inisiatif lain tahun ini.

Dalam perkembngan lain, Wan Rosdy berkata, portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang yang sebelum ini digalas Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dipertanggungjawabkan kepada dua exco sedia ada dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, melalui keputusan exco baru-baru ini, portfolio kerajaan tempatan diletakkan di bawah Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff manakala alam sekitar dan teknologi hijau dipertanggungjawapkan kepada Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.

"Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob jaga portfolio perumahan," katanya.

Kematian Allahyarham Johari dalam nahas pesawat terhempas di Elmina Shah Alam, 17 Ogos lalu turut menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Bentong 7 Oktober depan.

Wan Rosdy berkata, semua pihak diingatkan agar berkempen secara sihat, matang dan menghindari sebarang provokasi sepanjang tempoh berkempen PRK itu bermula pada hari penamaan calon pada 23 September ini.

Menurutnya, tindakan sedemikian hanya akan mencetuskan ketegangan kaum dan agama yang akhirnya kucar-kacirkan keharmonian di negeri ini.

"Tidak kira siapa yang akan menang, kita minta ketepikan segera sentimen politik dan berilah tumpuan untuk sama-sama bekerja bagi majukan negeri ini," katanya.