MOT cadang dana pembangunan maritim diteruskan dalam Belanjawan 2024

Anthony Loke Siew Fook.
Anthony Loke Siew Fook.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) mencadangkan dana pinjaman kepada operator syarikat perkapalan domestik diteruskan dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada bulan depan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, pembangunan sektor maritim diberikan perhatian, selain penekanan terhadap agenda mesra alam sekitar pada sesi konsultasi Belanjawan 2024 kementerian bersama Kementerian Kewangan.

"Sektor maritim diberikan perhatian dalam konsultasi tersebut dan kita mahu kerajaan mewujudkan satu dana pinjaman di bawah Bank Pembangunan Malaysia Bhd kepada syarikat dan operator perkapalan domestik untuk bergerak ke arah pemilikan kapal mesra alam.

"Kapal-kapal tempatan perlu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau untuk mencapai neutral karbon. Untuk bergerak ke arah itu, mereka memerlukan dana untuk melaksanakan pengubahsuaian enjin kapal sedia ada dan ini memerlukan modal pelaburan yang besar,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Global Shippers Roundtable pada Selasa.

Sidang meja bulat yang dianjurkan oleh Malaysian National Shippers' Council dan Malaysia Productivity Council itu bertemakan "Navigating the Waves of Unpredictability: Building Shippers’ Resilience for the Next Normal”.

Anthony turut menegaskan pengubahsuaian enjin kapal sedia ada amat penting dan selaras dengan permintaan pasaran dunia yang mahu kapal dan kargo bersifat mesra alam dan tidak mencemarkan alam sekitar.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia Tan Sri Soh Thian Lai dalam ucapan berkata keperluan untuk bersaing dalam pasaran antarabangsa telah berubah dengan ketara sejak beberapa tahun ini dan pembeli tidak lagi membuat keputusan mereka hanya pada harga.

"Penggubal dasar, pihak berkepentingan dan pengguna kini mempunyai banyak jangkaan dan lebih memberi tumpuan kepada kepentingan menerima pakai langkah-langkah kemampanan.

"Di seluruh dunia, syarikat perkapalan perlu melabur dalam membangunkan strategi eksport yang mampan yang menggalakkan dan menerima pakai prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus dalam proses pengeluaran dan rantaian bekalan global mereka.

Artikel Berkaitan:

"Syarikat perkapalan memerlukan pensijilan, standard, pelabelan dan pengesahan global yang berkaitan untuk bersaing pada skala global, terutamanya dalam pasaran bernilai tinggi.

"Untuk berbuat demikian, kita perlu bekerjasama secara bersepadu untuk memastikan dasar perdagangan dapat disesuaikan untuk memenuhi perkembangan ini. Kita juga perlu membangunkan program pembinaan kapasiti untuk merealisasikan potensi kita sepenuhnya dalam persekitaran perdagangan global yang berkembang pesat,” katanya.

Dalam Bajet 2023, kerajaan telah menyediakan Insentif Skim Pembiayaan Maritim dan Logistik bernilai RM1 bilion bagi meningkatkan pertumbuhan industri maritim negara yang memerlukan banyak sokongan.

Dana tersebut yang bertujuan mempergiat semula dan memulihkan industri perkapalan, turut diperluas kepada industri sokongan bagi sektor minyak dan gas serta sektor pembinaan dan pembaikan kapal.

Pada November 2020, Bajet 2021 telah melanjutkan Skim Pembangunan Maritim dan Logistik, Skim Pembiayaan Pembangunan Mampan, Skim Infrastruktur Pelancongan dan Dana Pengangkutan Awam sehingga 31 Dis 2023 dengan saiz dana RM3.7 bilion.

Sebelum itu, pada 2019, kerajaan bertindak melancarkan semula Dana Maritim (MF 2.0) bernilai RM1.5 bilion menerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd yang bertujuan menyuntik pemodenan sektor maritim negara. - Bernama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!