Kerajaan digesa pastikan reformasi institusi ditunaikan - Rasuah Busters

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa agar serius dalam memastikan reformasi institusi ditunaikan, fokus memulihkan ekonomi negara dan tidak memanipulasi kuasa politik.

#RasuahBusters dalam kenyataan Isnin berkata, ini adalah masa kritikal untuk melaksanakan usaha pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwaraya, kebebasan badan kehakiman terjamin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen.

“Advokasi jangka panjang #RasuahBusters akan diteruskan di mana rakyat tidak akan bertoleransi dengan ketidakadilan, dan akan terus berjuang untuk memutuskan rantaian sistemik rasuah dan memastikan kebebasan institusi di negara ini demi kesejahteraan dan mengangkat semula martabat Malaysia.

“#RasuahBusters menuntut kerajaan untuk kotakan kata, pastikan keadilan mesti dilaksanakan dan dilihat terlaksana.

“Untuk kekal relevan, jangan khianati mandat. Hukuman rakyat akan jauh lebih berat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Keputusan itu dibuat selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sehingga peringkat ini.

Ahmad Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut kenyataan tersebut, #RasuahBusters turut menegaskan bahawa tamadun yang ingin dibina oleh kerajaan Madani telah menekankan kompas moral dan etika sebagai teras bernegara.

“Dalam konteks tersebut memelihara kedaulatan undang-undang harus tanpa prejudis selari dengan etika yang dituntut oleh rakyat terhadap barisan kepimpinan kerajaan hari ini.

“Keputusan prima facie mahkamah yang dibuktikan oleh pendakwa sebelum ini seolah tidak bernilai dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah hilang peluangnya untuk membuktikan dirinya bersih dan tidak bersalah melalui keterangan dan bukti melalui kes pembelaan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Timbalan Perdana Menteri tersebut,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, keputusan yang dibuat berdasarkan kuasa di bawah aturan 145(3) Perlembagaan Persekutuan itu mempunyai kes prima facie telah menimbulkan persoalan tentang komitmen yang sering dilaungkan oleh kerajaan dalam memerangi rasuah dan menegakkan keadilan.

“Tanpa sebarang penjelasan yang munasabah daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkenaan permintaan pembebasan tanpa perlepasan tersebut, ia menimbulkan persepsi bahawa campur tangan eksekutif atau politik membolehkan mana-mana pihak mengelak daripada dibicara dan dihakimi seadil-adilnya oleh mahkamah.

“Lebih parah lagi duluan (precedent) ini menimbulkan keresahan rakyat terhadap keadilan sistem demokrasi di Malaysia kerana ia tidak membantu memulihkan kembali reputasi dan imej negara ini,” jelas kenyataan berkenaan.