Tun M perlu henti semai kebencian berhubung isu 'parti pendatang'

Dr Mahathir (kiri) ketika berucap di Markaz Pas Bakri malam tadi. (Gambar kanan) Sin Woon.
Dr Mahathir (kiri) ketika berucap di Markaz Pas Bakri malam tadi. (Gambar kanan) Sin Woon.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa supaya berhenti menyemai benih kebencian dalam kalangan rakyat Malaysia susulan kenyataan kontroversi dibuatnya di Muar, Johor.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, negarawan itu perlu menumpukan usaha untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia seperti yang beliau lakukan sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan Dr Mahathir yang menyifatkan parti politik pimpinan bukan Melayu sebagai parti pendatang.

“Saya rasa Tun M sudah terlalu jauh dengan mempersoalkan kesahihan kerakyatan semua kaum di negara ini sekarang.

“Walau apa pun bangsa atau asal usul mereka, rakyat Malaysia yang dilahirkan di negara ini setia dan cintakan tanah air.

“Masyarakat Malaysia berbilang kaum dan budaya adalah unik dan pernah menjadi contoh kepada dunia tentang betapa harmoninya kita serta betapa progresif kemajuan kita capai,” katanya kepada Sinar Daily pada Isnin.

Menurutnya, Malaysia mengambil pendekatan berbeza berbanding negara Asia Tenggara lain dalam usaha mendapatkan kemerdekaan dan membentuk Malaysia.

“Nenek moyang kita telah memilih integrasi dan bukannya asimilasi apabila semua kaum bersatu untuk mencapai kemerdekaan kita, jadi ia adalah pendekatan yang berbeza berbanding negara ASEAN yang lain,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir semasa ceramah di Markaz Pas Bakri sebagaimana dipetik oleh The Star memberitahu bahawa keengganan orang bukan Melayu untuk mengasimilasikan budaya Melayu, termasuk mewujudkan parti politik mereka sendiri, telah menyumbang kepada isu perkauman di negara ini.

Beliau berkata, amalan seperti itu tidak didapati di negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Indonesia di mana terdapat parti politik yang diwujudkan untuk ‘pendatang’.

“Tetapi di Malaysia, ‘pendatang’ ini tinggal di sini dan menerima kerakyatan negara ini tetapi masih menjauhkan diri.

“Dalam politik pun mereka menubuhkan parti sendiri. Sebab itu masih ada isu perkauman di negara ini.

"Bukan kita tidak menyukai mereka tetapi mereka ialah orang yang tidak menyukai kita,” jelasnya.

Beliau turut mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana dia berkata Pakatan Harapan dipimpin oleh seseorang yang memberitahu rakyat bahawa negara ini bukan milik orang Melayu sahaja tetapi juga milik orang lain.

"Dia mahu menyerahkan negara ini kepada orang luar. Ini saya tidak boleh terima kerana kami yang meneroka dan membuka semenanjung," katanya.

Dr Mahathir menambah, beliau akan terus bercakap mengenai 3R (agama, bangsa dan raja) kerana ia adalah hak beliau untuk bercakap mengenai perkara tersebut.