Amah tuntut gaji 9 tahun tidak dibayar

Alias (dua dari kanan) menunjukkan dokumen kepada Derfi (dua dari kiri) di Mahkamah Kota Bharu pada Isnin.
Alias (dua dari kanan) menunjukkan dokumen kepada Derfi (dua dari kiri) di Mahkamah Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang membuat tuntutan saman sivil kerana mendakwa tidak dibayar gaji selama lebih sembilan tahun turut memberitahu Mahkamah Sesyen, di sini bahawa dia juga dipukul dan ditampar oleh bekas majikannya hingga cedera.

Derfi Bisilisin, 36, menyatakan perkara tersebut ketika memberi keterangan sebagai saksi utama pada perbicaraan hari pertama di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Dia yang juga plaintif dalam kes itu berkata, bekas majikan tersebut iaitu sepasang suami isteri dari daerah ini yang dinamakan sebagai defendan sering kali memukulnya di beberapa bahagian badan menggunakan peralatan seperti penyangkut baju atau tali pinggang.

“Saya dipukul dan ditampar oleh majikan, isteri serta ibunya semasa berkhidmat dengan keluarga itu.

“Mereka memukul saya dengan menggunakan tali pinggang, penyangkut baju, topi keledar dan kerusi kayu sehingga berdarah serta lebam,” katanya ketika memberi keterangan dalam kandang saksi di sini, pada Isnin.

Pada November 2021, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur melantik peguam bagi mewakili plaintif untuk melakukan dua tuntutan iaitu gaji sebagai pembantu rumah berjumlah RM93,000 dan gaji sebagai pembantu kedai aksesori kereta sejumlah RM109,000.

Derfi yang berasal dari Kupang, Nusa Tenggara Timur itu berkata, selain diminta melakukan kerja pembantu rumah seperti membasuh pinggan dan memasak, dia juga disuruh oleh majikannya untuk bekerja di kedai aksesori kenderaan sepanjang waktu siang walaupun perkara itu tidak termaktub dalam perjanjian kontrak pekerjaannya.

Menurut Defri, majikannya juga menyuruh dia tidur di atas lantai di ruang tamu rumah dan diberi makan hanya sehari sekali selain tidak dibayar gaji sepanjang tempoh perkhidmatan bermula 23 Julai 2011 sehingga dia melarikan diri pada 29 Oktober 2020.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia berhak menuntut kesemua gaji bagi dua pekerjaan tersebut, ganti rugi am dan teladan berjumlah RM50,000 atas layanan buruk yang diterima daripada majikan serta ahli keluarga majikan itu.

“Mengikut perjanjian, perkhidmatan saya sebagai pembantu rumah bermula dengan gaji sebanyak RM600 sebulan dan kenaikan RM50 setiap tahun sehingga terakhir bergaji RM1,100, tetapi tidak pernah dibayar termasuk upah sebagai pekerja kedai aksesori.

“Saya berhak menuntut, saya datang dari jauh tinggalkan keluarga di Indonesia untuk bekerja untuk mereka tetapi majikan langsung tidak menghiraukan perasaan saya. Saya bukan meminta dilayan sebagai raja, tetapi hargai lah saya sebagai seorang manusia, bukan binatang,” katanya sambil mengesat air mata.

Perbicaraan kes itu berlangsung selama dua hari dengan Defri diwakili peguam Alias Ibrahim manakala defendan diwakili peguam Tara Singh Delip Singh. Perbicaraan turut dihadiri Setiausaha Kedua Konsulat KBRI, Ardina Desnita Tinaor.

Sebelum itu, pada Januari 2023, majikan Defri dihukum penjara tujuh tahun dan isterinya tiga tahun serta didenda RM30,000 selepas didapati bersalah mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 kerana eksploitasi kerja paksa.