'Fatwa haram' tidak jejas kempen PN - Zulkifli

Zulkifli beramah mesra dengan pengundi di sebuah kedai makan di Taman Kempas pada Isnin.
Zulkifli beramah mesra dengan pengundi di sebuah kedai makan di Taman Kempas pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar menyifatkan isu 'fatwa haram' memberikan undi kepada calon Pakatan Harapan (PH) tidak menjejaskan kempen PN pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata, keputusan mahkamah melepaskan tanpa dibebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi akan memberi kesan positif kepada kempen PN.

"Secara logiknya keputusan mahkamah itu membantu kempen saya. Saya tidak kehilangan modal berkempen, kerana tidak pernah mempermainkan isu berkenaan. Sebaliknya isu tersebut akan pengaruhi pengundi kerana rakyat pandai menilai.

"Kadang-kadang kita bercakap banyak tetapi tidak jalan sebab orang boleh fikir sendiri, mereka tahu untuk membezakan yang mana baik dan buruk," katanya selepas melakukan walkabout di Jalan Dataran 4, Taman Kempas, di sini, pada Isnin.

Pada pagi Isnin, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu, Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai, enggan memberi sebarang komen tentang dakwaan haram undi calon PH Suhaizan Kaiat yang dibuat oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Perkara itu saya tiada komen, saya sendiri tidak perasan dia bercakap sedemikian semasa ceramah, jadi saya tidak mahu komen berhubung isu berkenaan. Namun begitu perkara tersebut tidak jejaskan perjalanan kempen saya.

"Secara keseluruhan perjalanan kempen setakat ini sangat baik, saya akan teruskan bertemu lebih ramai pengundi di Parlimen Pulai," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 'Fatwa' haram undi calon PH, Muhyiddin perlu taubat - Tok Mat

Undi calon PH haram: Zahid bidas 'fatwa' politik Muhyiddin

'Kamu siapa haramkan pengundi undi Suhaizan' - Anwar

Fatwa politik haram beri undi kepada saya tak wajar - Suhaizan

Tindakan hasut rakyat: Kerajaan Perpaduan tak akan bertolak ansur

Berkawan dengan Pas, Muhyiddin keluar fatwa haram - Mohamad Sabu