Fatwa haram: Muhyiddin terpengaruh dengan Pas - Saifuddin

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan 'fatwa politik' haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai Sabtu ini, adalah akibat terpengaruh dengan sekutunya, Pas.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pendekatan Pas yang dibawa Presidennya, Abdul Hadi Awang boleh membuatkan rakan sekutunya terikut-ikut dan terpengaruh.

"Saya sendiri tidak terkejut sama sekali (fatwa haram) kerana parti yang Muhyiddin dampingi sekarang ini adalah parti Pas. Pas sekarang tidak seperti zaman Allahyarham Yusof Rawa, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, Haron Din, Datuk Yahya Othman, ia berbeza... ini nama-nama yang sangat menjaga akhlak politik mereka.

"Tapi Pas sekarang di bawah Abdul Hadi Awang...kuasa adalah segala-galanya. Kekuatan Pas sekarang ini diukur dengan jumlah kerusi yang dimenangi. Kempen di Johor pun Hadi masih meratib perkara sama iaitu menang di Pulai ertinya jatuh Kerajaan Perpaduan.

"Sifir matematiknya tidak masuk akal langsung tetapi masih diungkap. Apabila lama berkawan (Muhyiddin dan Pas) ternyata beberapa perkara, pendekatan dan tabiat seperti itu, sekarang menjadi ikutan pula parti Bersatu. Ini sesuatu yang sangat malang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Ceramah Perpaduan Pulai di Taman Dahlia di sini, malam semalam sebagai mengulas tindakan Muhyiddin yang melarang pengundi Parlimen Pulai untuk mengundi calon PH itu dengan yang mengeluarkan 'fatwa haram' ketika berkempen dalam Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN), Ahad lepas.

Turut hadir, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta calon PH, Suhaizan Kaiat.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri (KDN) dalam pada itu menggesa agar Presiden Bersatu itu tidak mengulangi tindakan seumpama itu, sebaliknya menggunakan pendekatan yang positif dan sihat apabila berkempen.

Artikel Berkaitan:

"Memadailah kita bertarung dalam politik ini dengan menawarkan sesuatu yang dibandingkan...dasar dengan dasar dan program dengan program, tawaran dengan tawaran.

"Saya fikir itu lebih molek berbanding melemparkan atau mengenakan satu hukum, terutama disandarkan dengan agama tanpa mengikut tertib, kaedah sesuatu hukum itu dikeluarkan," katanya.

PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak Sabtu ini. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 'Fatwa' haram undi calon PH, Muhyiddin perlu taubat - Tok Mat

Undi calon PH haram: Zahid bidas 'fatwa' politik Muhyiddin

'Kamu siapa haramkan pengundi undi Suhaizan' - Anwar

Fatwa politik haram beri undi kepada saya tak wajar - Suhaizan

Tindakan hasut rakyat: Kerajaan Perpaduan tak akan bertolak ansur

Berkawan dengan Pas, Muhyiddin keluar fatwa haram - Mohamad Sabu

Polis buka kertas siasatan terhadap Muhyiddin isu 'fatwa' politik

Biar Majlis Fatwa Kebangsaan tentukan hukum Islam - Saarani

Ahmad Maslan minta Muhyiddin jangan permainkan agama

'Fatwa politik' timbulkan salah faham, cemarkan Islam - Mohd Na'im