Empat ahli Geng 18 dicekup dalam Op Cantas

Pemeriksaan mendapati terdapat tatu berunsur kumpulan kongsi gelap di bahagian belakang badan lelaki yang ditahan.
A
A

PETALING JAYA - Empat lelaki dipercayai ahli pertubuhan haram Geng 18 dicekup dalam Op Cantas di sebuah pusat hiburan di Dataran Mentari, di sini awal pagi tadi.

Pegawai Turus Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, seramai 40 pengunjung pusat hiburan itu diperiksa oleh pegawai dan 10 anggota D7 IPK Selangor.

Menurutnya, dalam operasi pada jam 1.15 pagi itu, empat lelaki berusia antara 35 dan 43 tahun didapati mempunyai tatu berunsur kumpulan kongsi gelap.

Kesemua mereka turut mempunyai pelbagai rekod kes jenayah lampau.

“Mereka mengaku terbabit dengan Geng 18.

“Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sungai Way untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan Haram 1966,” katanya.

Azmi berkata, pihaknya turut menahan dua wanita warga Indonesia berkerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dan seorang lelaki yang bertindak sebagai penjaga premis.

Katanya, polis turut merampas 13 minuman keras dan sejumlah wang tunai dalam operasi itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55(b) akta yang sama dan Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHTTH) 1995,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia