Hadiah empat kereta buat pengunjung bertuah lawat Melaka

Ab Rauf (dua kiri) menyampaikan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 kepada juara memancing Mohd Nazri Choo Abdullah (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing (Pra Joran) dan Memasak Sempena Bulan Kemerdekaan 2023 di Sungai Melaka Fasa Dua pada Ahad. - Foto: Bernama
Ab Rauf (dua kiri) menyampaikan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 kepada juara memancing Mohd Nazri Choo Abdullah (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing (Pra Joran) dan Memasak Sempena Bulan Kemerdekaan 2023 di Sungai Melaka Fasa Dua pada Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A

MELAKA - Hadiah cabutan bertuah berupa empat kereta bernilai lebih RM100,000 setiap satu menanti pengunjung bertuah yang melawat Melaka pada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, cabutan bertuah berkenaan akan dilakukan pada setiap tiga bulan sekali sepanjang TMM 2024 dan penyertaan berdasarkan beberapa syarat ditetapkan.

"Salah satu syaratnya ialah pelancong atau pengunjung perlu bermalam sekurang-kurangnya dua malam di hotel empat bintang ke atas yang akan ditentukan kemudian dan resit atau kupon penyertaan cabutan bertuah itu boleh didapati daripada pihak hotel berkenaan.

Bagaimanapun, kita juga akan bekerjasama dengan pihak inap desa dan hotel tiga bintang ke bawah dengan pelbagai tawaran cabutan bertuah lain seperti motosikal, basikal dan skuter elektrik," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing (Pra Joran) dan Memasak Sempena Bulan Kebangsaan 2023 di Sungai Melaka Fasa Dua dan turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Ab Rauf berkata, hadiah cabutan bertuah berkenaan bukan sahaja bertujuan menarik kedatangan pelancong ke Melaka tetapi juga memberi penghargaan kepada mereka sempena TMM 2024.

Sementara itu, beliau berkata pertandingan fotografi berunsurkan identiti Melaka juga akan dianjurkan pada tahun hadapan selain pertandingan "Tik Tok Melaka” yang bertujuan menularkan pelbagai keunikan makanan dan tempat menarik di negeri itu dalam usaha meningkatkan kedatangan pelancong.

Artikel Berkaitan:

"Pelbagai hadiah menarik disediakan bagi setiap pertandingan yang dianjurkan sepanjang TMM 2024 dan terbuka buka sahaja kepada pelancong luar malah dari Melaka juga," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pertandingan memancing berskala lebih besar dengan sasaran penyertaan kaki pancing lebih 3,000 orang akan dianjurkan pada 20 Feb tahun hadapan sempena TMM 2024.

Katanya pertandingan yang akan berlangsung di Sungai Melaka Fasa Dua di sini melibatkan kawasan sepanjang 2.5 kilometer menawarkan pelbagai hadiah menarik keseluruhan bernilai RM100,000 dan johan pertandingan juga akan membawa pulan wang tunai RM30,000.

Terdahulu, sebanyak 863 peserta dari dalam dan luar Melaka menyertai pertandingan memancing yang berlangsung hari ini yang menawarkan wang tunai sebanyak RM10,000 bagi johan pertandingan itu. - Bernama

-- BERNAMA

TAG: Melaka, hadiah, cabutan bertuah, kereta, TMM 2024, Ab Rauf Yusoh