Yamaha Y15ZR, Honda RS-X gamit pengunjung bertuah
DUA motosikal bakal menjadi milik pengunjung bertuah pada Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 12 hingga 14 Mei ini.
Motosikal tersebut iaitu Yamaha Y15ZR dan Honda RS-X merupakan hadiah utama untuk pemenang cabutan bertuah Happy Bag ARRC 2023.
Untuk menyertai cabutan bertuah tersebut, para pengunjung hendaklah membeli Happy Bag ARRC yang dijual pada harga RM65 dan ia boleh didapati di khemah promosi ARRC bermula Sabtu ini.
Pengunjung yang membeli satu Happy Bag akan diberikan satu kupon untuk menyertai cabutan bertuah manakala bagi setiap pembelian dua Happy Bag, dia bakal mendapatkan tiga kupon cabutan bertuah.
Antara kandungan Happy Bag ARRC tersebut termasuk baju-T ARRC edisi terhad, minyak pelincir Idemitsu serta beberapa barangan lain.
Menurut Pengurus Pemasaran dan Promosi Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd (TWMR), Yvonne Ng, selain dua motosikal sebagai hadiah utama, pelbagai hadiah menarik yang lain juga disediakan termasuk helmet dan sebagainya.
“Jualan Happy Bag ARRC akan bermula pada Jumaat dan para penonton yang mahu mendapatkan bag tersebut boleh singgah di khemah Happy Bag yang terletak di tapak promosi ARRC di Litar Sepang.
“Pengumuman pemenang cabutan bertuah akan diadakan pada Ahad, jam 4.30 petang,” jelas Yvonne.
Menurutnya lagi, hadiah-hadiah menarik yang disediakan untuk cabutan bertuah Happy bag itu merupakan penghargaan buat para penonton yang sentiasa memberi sokongan terhadap penganjuran kejuaraan tersebut selama ini.
Selain dua motosikal, hadiah-hadiah lain yang ditawarkan untuk cabutan bertuah Happy Bag ARRC tersebut termasuk lima set baucer Hakkaclo, dua unit produk RKM, lima set produk keluaran Cardinals Racing, tiga unit bateri Koyoko, satu unit produk ARC, satu unit produk keluaran UMA Racing, Racing Boy, Corsa, Sofili dan juga produk SCK.
Edisi tahun lalu, dua pemenang hadiah utama Muhammad Shahrin Sabri membawa pulang motosikal Honda RS-X manakala motosikal Yamaha Y15ZR pula dimenangi Mohd Azli Tumiran.
Sebagai rekod, Sepang menjadi hos Pusingan 2 ARRC yang membuka tirainya di Litar Antarabangsa Chang Buriram, Thailand pada 24 hingga 26 Mac lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!