Lelaki maut bergaduh depan kedai

Zahid (duduk, kiri) menunjukkan kesan darah di lokasi kejadian.
Zahid (duduk, kiri) menunjukkan kesan darah di lokasi kejadian.
A
A
A

MACHANG - Seorang kakitangan awam maut dalam pergaduhan di hadapan sebuah kedai di Kampung Cabang Sungai Hala di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa dikatakan pergi bertemu seorang individu lain di hadapan kedai berkenaan sebelum berlaku pergaduhan.

Saksi yang juga seorang pekerja di sebuah kedai membaiki motosikal, Zahid Hasran, 28, memberitahu, dua lelaki terbabit tidak mengendahkan permintaannya supaya tidak bergaduh.

"Saya sudah memberi amaran supaya mereka berhenti bertumbuk.

"Saya juga memberitahu mereka bahawa akan menghubungi polis jika masih bergaduh," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Gambar mengenai kejadian pergaduhan dua lelaki itu tular di media sosial sejak tengah hari Ahad.

Menurut Zahid, sebelum kejadian, dia melihat sebuah kereta berhenti beberapa meter dari kedai tempat dia bekerja sebelum mendapati dua lelaki berbincang.

Bagaimanapun katanya, perbincangan semakin tegang dan berlaku perang mulut antara mereka.

Artikel Berkaitan:

"Ketika itu saya tidak mendengar dengan jelas percakapan mereka kerana sibuk bekerja di dalam kedai," katanya.

Selang beberapa minit kemudian katanya, pergaduhan dua lelaki itu semakin serius sehingga salah seorang ditumbuk dengan kuat.

"Ketika itu saya sudah memberi amaran tetapi tidak diendahkan. Orang ramai tidak dapat membantu kerana mereka bertindak agresif," katanya.

Dalam tempoh itu juga, mangsa yang ditumbuk cedera di kepala dan darah berlumuran di sekitar tempat bergaduh.

Jelas Zahid, pergaduhan dileraikan selepas polis tiba di lokasi itu dan mangsa dibawa ke Hospital Machang.

"Saya difahamkan mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Mohd Adli Mat Daud mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Menurut beliau, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berkenaan kes itu.