Orang muda perlu diberi peluang

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PEMIMPIN ulung Indonesia, Ir Soekarno pernah berkata, “Berikan aku 1,000 orang tua, nescaya akan ku cabut semeru dari akarnya. Dan berikan aku 10 pemuda nescaya akan ku goncangkan dunia!

”Anak muda sinonim dengan tenaga, kudrat dan kreativiti. Sebenarnya anak muda perlu diberikan ruang kebebasan untuk berkarya mengikut bidang kepakaran masing-masing.

Orang muda juga perlu dibimbing dan didorongkan ke jalan yang tepat untuk meneroka lebih jauh dan berjaya dalam bidang kepakaran mereka.

Namun kadangkala ramai anak muda terpaksa memendamkan bakat atau kebolehan mereka, malah lebih teruk ada juga bakat mereka disia-siakan kerana pemimpin pemuda bukanlah orang yang betul-betul muda.

Sebab itulah pentingnya memilih pemimpin yang tepat kerana anak muda cerminan masa depan negara.

Orang muda yang berbakat dan berpotensi perlu diberikan ruang serta jalan seluasnya untuk mereka bergerak ke depan. Bukannya dicantas atau dihalang agar tak menggugat kedudukan orang lama.

Lihatlah saja bagaimana majoriti rakyat Thailand bersuara dan memilih pemimpin masa depan mereka pada PRU negara itu yang baharu selesai.

Pita Limcharoentrat, calon Perdana Menteri baharu Thailand. Umur baru 42 tahun, lepasan dari Universiti Harvard dan pemegang MBA.

Parti yang diwakili beliau, Thai Move Forward Party menang Pilihan Raya Thailand baru-baru ini.

Ternyata rakyat Thailand mahukan perubahan besar dalam tampuk pentadbiran negara setelah sebelum ini berada di bawah pemerintahan tentera.

Sebaiknya negara kita pun sudah lama berubah ke arah yang sama. Menyegarkan era pemerintahan dengan memberi lebih banyak peluang kepada orang muda tak kira dalam parti atau kerajaan.

Justeru anak muda harus diberikan ruang untuk memposisikan dirinya dalam politik Malaysia bagi menunjukkan kemampuannya mengurus hal ehwal berkaitan dengan rakyat dan negara.

Ini kerana ramai pemimpin muda yang berkebolehan dan layak dinamakan sebagai calon alam pilihan raya umum, masih belum diberi peluang untuk menjayakan agenda parti dan berada dalam pentadbiran kerajaan.

Orang muda, inilah masanya!