PRK: Kemenangan PN di Pulai sekat kerajaan pinda persempadanan semula - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama.
Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai cukup penting untuk memastikan kerajaan tidak sesuka hati meminda perlembagaan terutama persempadanan semua kawasan pilihan raya.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki dua pertiga kerusi Parlimen iaitu 148 kerusi termasuk Parlimen Pulai.

"Kalau PN menang di Parlimen Pulai pada 9 September ini, ia akan menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen, seterusnya memberi kesan besar dalam soal pindaan Perlembagaan.

"Satu yang kita agak gusar ialah soal persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya yang akan berlaku dalam tempoh penggal ini.

"Kalau mereka merancang membuat sesuatu tetapi tidak memberi keuntungan kepada pengundi khususnya orang Melayu, maka ia sesuatu yang akan membawa kesan tidak baik kepada masa depan orang Melayu," katanya pada sesi dialog bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kempas, pada Sabtu.

Hadir sama, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Zai Mustapha.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu gerak kerja jentera PN bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, semakin lancar.

"Sambutan luar biasa diterima setiap kali ceramah dan kempen diadakan. Saya yakin pengundi akan terus memberi sokongan kepada calon PN iaitu Zulkifli Jaafar di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan terus membantu calon menerusi kempen-kempen yang akan diadakan," katanya.