Wanita hadapi kesukaran hidup, 21 tahun tanpa kad pengenalan

Syed Saddiq bersama Melissa semasa perjumpaan mereka berhubung isu MyKad.
Syed Saddiq bersama Melissa semasa perjumpaan mereka berhubung isu MyKad.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita terpaksa melalui kesukaran hidup kerana tidak mempunyai kad pengenalan diri (MyKad) dan hanya mampu bersekolah sehingga Tahun Enam.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau menerima pesanan daripada wanita yang dikenali sebagai Melissa, 21, mengenai isu tersebut dan mengajaknya untuk berjumpa.

Menurutnya, Melissa masih tidak mempunyai MyKad walaupun dalam sijil kelahiran dinyatakan status warganegara dan mempunyai nombor kad pengenalan.

“Dia lulus Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mendapat A dalam subjek Bahasa Melayu. Namun, tidak dapat masuk sekolah menengah kerana tidak mempunyai MyKad.

“Saya sedih kerana Melissa dinafikan hak pendidikan menyebabkan dia terpaksa menjual nasi lemak tepi jalan, bunga orkid, ais krim Malaysia 20 sen dan macam-macam lagi untuk sara diri pada usia 14 tahun.

“Pada tahun 2013, dia sepatutnya mewakili Pulau Pinang dalam acara gimnastik berirama Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak. Akhirnya tak dapat pergi kerana masalah berkenaan,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Jumaat.

Melissa merupakan gadis kelahiran Pulau Pinang, kini tidak dapat menjalani kehidupan normal sebagai warganegara Malaysia seperti mendapatkan pendidikan dan pekerjaan kerana tidak mempunyai MyKad.

Wanita tersebut dilahirkan dan turut dibesarkan di Malaysia, mempunyai keluarga dan rakan-rakan di sini selain fasih berbahasa Melayu.

Artikel Berkaitan:

Tambah Syed Saddiq, beliau percaya masih banyak kes yang hampir sama dan masyarakat yang menerima nasib seperti Melissa.

“Di Muar, ada individu yang sudah hidup berpuluh tahun dan duduk di Malaysia sebelum kita merdeka lagi tetapi masih tidak mempunyai MyKad.

“Saya akan utuskan surat ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan isu ini dan harap penantian mereka tidak sia-sia.

“Beri peluang kepada mereka untuk berbakti pada Malaysia,” ujarnya.