Bapa Dodi Al-Fayed meninggal dunia

Mohamed Al-Fayed menghembuskan nafas terakhir akibat uzur pada Rabu.
Mohamed Al-Fayed menghembuskan nafas terakhir akibat uzur pada Rabu.
A
A
A

LONDON - Mohamed Al-Fayed yang juga bekas pemilik gedung beli-belah masyhur di kota London Harrods dilaporkan meninggal dunia pada usia 94 tahun.

Al-Fayed bapa kepada Dodi iaitu kekasih kepada mendiang Puteri Diana menghembuskan nafas terakhir akibat uzur pada 30 Ogos (Rabu) lalu.

Jutawan kelahiran kota Alexandria, Mesir itu membina empayar perniagaan di Timur Tengah sebelum berpindah ke United Kingdom (UK) pada tahun 1970-an.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai penjual minuman bergas dan pernah bekerja sebagai jurujual mesin jahit sebelum membina empayar kekayaan keluarganya dalam bidang hartanah, perkapalan serta pembinaan yang pertama di Timur Tengah, kemudian berkembang hingga ke Eropah.

Sekalipun pernah menjadi pemilik Harrods serta memiliki kelab bola sepak Fulham FC dan hotel lima bintang Ritz di Paris, namun, Al-Fayed sentiasa hidup sebagai ‘orang luar’ di Britain.

Beliau tidak pernah dapat mencapai cita-citanya untuk mendapatkan pasport bagi negara angkatnya.

Al-Fayed tidak sehaluan dengan kerajaan British kerana enggan memberikan kerakyatan kepadanya meskipun menetap di negara itu selama beberapa dekad.

Sepanjang hayatnya, Al-Fayed pernah dua kali cuba mendapatkan kewarganegaraan British, namun, gagal.

Artikel Berkaitan:

Pada percubaan kedua pada tahun 1995, beliau marah dengan penolakan tersebut dan memberitahu media bahawa beliau telah membayar kepada dua menteri Konservatif, Neil Hamilton dan Tim Smith, untuk mengemukakan soalan di Parlimen berkaitan dengan kepentingannya.

Susulan pendedahan itu, kedua-dua menteri berkenaan meletakkan jawatan dan Hamilton, yang menafikan tuduhan tersebut juga kalah dalam kes fitnah terhadap Al-Fayed.

Sementara seorang lagi ahli politik, Jonathan Aitken yang ketika itu menteri Kabinet juga meletakkan jawatan selepas Al-Fayed mendedahkan bahawa beliau menginap secara percuma di Ritz di Paris, pada masa sama dengan sekumpulan penjual senjata dari Arab Saudi.

Sejak sedekad lalu, Al Fayed jarang muncul di khalayak dan menghabiskan masa di banglo mewah bersama isterinya, Heini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari Jumaat, keluarganya berkata: "Isteri Al-Fayed, anak-anaknya dan cucunya ingin mengesahkan bahawa suaminya yang dikasihi, bapa mereka, dan datuk mereka, Mohamed, telah meninggal dunia dengan tenang akibat uzur pada hari Rabu, 30 Ogos 2023.

Al-Fayed juga menghabiskan masa selama 10 tahun semata-mata mahu membuktikan Diana dan anaknya Dodi dibunuh apabila kereta mereka terbabas dalam terowong jalan raya di Paris pada 1997 ketika pasangan itu cuba melarikan diri daripada 'paparazi' yang menaiki motosikal.

Sementara itu, Fulham FC, yang dimiliki beliau selama berdekad menzahirkan rasa sedih dengan berita kematian beliau.

"Kami terhutang budi kepada Mohamed atas apa yang beliau lakukan untuk kelab kami dan ingatan kami ketika ini ialah bersama keluarga dan rakan-rakan beliau pada waktu yang suram ini," kata mereka dalam satu kenyataan.

Pengganti beliau di kelab itu, Shahid Khan yang turut menyampaikan ucapan takziah berkata, warisan peninggalan beliau akan kekal dalam ingatan.

"Kisah Fulham tidak dapat diceritakan tanpa mengaitkan impak positif Al Fayed sebagai Pengerusi.

"Warisan beliau akan diingati untuk peningkatan kelab ke Liga Perdana, Final Liga Eropah, dan momen-momen ajaib oleh pemain dan pasukan."

Bagi wartawan Piers Morgan, Al-Fayed merupakan "seorang lelaki luar biasa yang tidak pernah pulih daripada kematian anak lelakinya yang dikasihi, Dodi, dalam kemalangan yang turut membunuh Diana.

Pada tahun 2010, Al-Fayed menjual Harrods kepada dana kekayaan Qatar dengan hampir separuh daripada harga pembelian digunakan untuk membayar hutang syarikat tersebut.

Puteri Diana dan Dodi terbunuh dalam kemalangan jalan raya pada 31 Ogos 1997. - Awani