Tugas Ahmad Terrirudin sebagai Peguam Negara bukan mudah

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Tanggungjawab digalas Peguam Negara baharu, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bukan mudah kerana perlu membuktikan dirinya bebas daripada pengaruh parti politik atau kerajaan ketika membuat keputusan penting melibatkan pertuduhan ke atas tokoh tertentu.

Jawatan berkenaan sebelum ini sering diselubungi kontroversi selain terpalit tuduhan melakukan pendakwaan terpilih terutama membabitkan individu berprofil tinggi.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, mengeluarkan kenyataan secara menyeluruh berserta bukti-bukti kukuh untuk sesuatu kes jenayah berprofil tinggi adalah antara cabaran ketelusan terbesar yang perlu dilalui oleh Ahmad Terrirudin.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan orang ramai jelas dan tidak mempersoalkan sebarang keputusan yang diambil.

Pada Jumaat, Peguam cara Negara itu, 55, dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 6 September ini, menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada Selasa depan.

Selain Idrus yang didakwa melaksanakan pendakwaan terpilih seperti kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung isu rasuah dan percanggahan isu konflik kepentingan ketika mengendalikan perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Tan Sri Tommy Thomas juga tidak lari daripada kontroversi itu apabila beliau dikritik dan diminta meletak jawatan oleh pembangkang selepas pengguguran kes Lim Guan Eng pada 2018 berhubung urusan jual beli sebuah banglo di George Town di bawah harga pasaran semasa.

Pelantikan Tan Sri Apandi Ali sebagai Peguam Negara pada 2015 selepas peletakan jawatan Tan Sri Abdul Gani Patail turut mengundang kritikan.

Artikel Berkaitan:

Pengkritik mendakwa pelantikannya menggantikan Abdul Gani, yang tidak disambung perkhidmatan atas alasan kesihatan, bertujuan untuk menutup skandal 1MDB membabitkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Justeru, Peguam Negara perlu memastikan setiap keputusan sama ada mendakwa atau melepaskan individu tertentu khususnya melibatkan kes berprofil tinggi dibuat berlandaskan asas undang-undang yang jelas serta tidak dipengaruhi oleh apa-apa unsur politik.

Ketua Kluster Politik, Governans dan Perundangan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, perkara itu menjadi asas kredibiliti yang perlu dimiliki seseorang yang memegang jawatan penting tersebut bagi menjamin integriti badan kehakiman di Malaysia.

Paling utama Peguam Negara perlu memegang prinsip amanah dan adil dalam menjalankan tugas supaya masyarakat tidak menuduh atau melemparkan sebarang tohmahan.

Ia bagi menggelakkan orang ramai hilang keyakinan dan kepercayaan kepada sistem perundangan.