Sedapnya bak chang halal

A
A
A

KETUPAT merupakan sejenis hidangan tradisi Melayu yang diperbuat daripada beras atau pulut yang dibungkus dengan daun kelapa atau daun palas dan direbus di dalam periuk. Jenis ketupat bergantung kepada bahan dan daun yang digunakan untuk membuat bungkusannya.

Ketupat pulut ialah ketupat yang menggunakan beras pulut sebagai bahan asasnya, manakala ketupat nasi dibuat daripada beras. Biasanya daun palas digunakan untuk membalut ketupat pulut manakala daun kelapa untuk ketupat nasi. Ketupat pulut versi Kelantan pula agak manis kerana pulut yang digunakan turut digaul dengan santan, gula dan garam.

Mungkin masih ramai masyarakat bukan Cina di Malaysia yang tidak mengenali dan tidak pernah merasai keenakan bak chang, sejenis ketupat Cina yang dibalut dengan daun buluh dan berinti daging, cendawan, kekacang dan telur masin. Sebagaimana perkataan 'bak' dalam bak kut teh (sup herba daging dan tulang), perkataan 'bak' ini dari segi bahasa bermaksud daging.

Masyarakat Melayu menyebut nasi berlauk ayam untuk lauk ayam manakala nasi berlauk daging untuk lauk lembu. Bagi kambing atau itik serati, ia dipanggil nasi berlauk kambing dan nasi berlauk itik serati.

Maka, daging itu sinonim dengan lembu. Bagi masyarakat Cina pula, perkataan daging sinonim dengan khinzir. Oleh sebab itu, ramai yang beranggapan bahawa bak kut teh dan bak chang tidak halal untuk dimakan oleh orang Islam kerana ada perkataan bak.

Sebenarnya, memandangkan perkataan bak bermaksud daging, tidak semestinya makanan tradisi Cina yang mengandungi perkataan bak tidak halal untuk dimakan. Yang penting, pastikan daging apa dan sumber yang digunakan adalah halal.

Sekarang tidak susah untuk mendapatkan makanan Cina yang halal kerana ramai masyarakat tersebut yang sudah memeluk Islam dan ada juga dalam kalangan orang Islam yang belajar cara memasak atau membuat makanan tradisi kaum Cina dengan menggunakan bahan-bahan yang halal.

Kini, terdapat herba untuk memasak bak kut teh yang dijual dengan nama chick kut teh dengan maksud menggantikan perkataan bak yang kononnya tidak halal itu kepada ayam. Oleh kerana masakan bak kut teh perlu direneh lama, ayam kampung lebih sesuai jika dibandingkan dengan ayam daging.

Artikel Berkaitan:

Bagi saya secara peribadi, daging kambing lebih sedap dibuat bak kut teh berbanding daging ayam atau lembu.

Berbalik kepada bak chang, apa yang membezakannya dengan ketupat adalah saiz. Memandangkan bak chang berinti ayam atau daging yang dimasak dengan kicap dan sos tiram, ia lebih besar berbanding ketupat.

Kini, terdapat pelbagai variasi bak chang seperti bak chang rendang dan ada juga yang ditambah dengan kacang merah bagi menggantikan kacang berangan yang biasa digunakan untuk bak chang asli. Di Melaka, bak chang berwarna kebiru-biruan kerana turut diletak bunga telang.

Kebiasaannya bak chang berharga RM 5 sebiji atau lebih mahal, bergantung pada inti yang digunakan. Bak chang yang tiada inti pula dipanggil kee chang. Kee chang sedap dicecah atau dimakan dengan gula pasir atau gula Melaka. Di pasar Alor Gajah, kee chang turut dijual oleh orang Melayu. Jika ada yang berminat untuk mencuba, perlulah pergi pada awal pagi kerana kebiasaannya ia cepat habis.

Baru-baru ini, sahabat saya, Azura Tan Siow Ling dari Johor telah menjual bak chang di kedai roti Swee Siang milik beliau di Johor Bahru. Semuanya habis terjual pada hari pertama Ramadan. Ini menunjukkan bahawa bak chang sudah mula diterima oleh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia dan permintaan halal adalah tinggi.

Untuk rakyat Kelantan yang rindu akan kelazatan bak chang atau ingin mencuba, anda boleh juga mendapatkannya di Restoran Cece Station di Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu yang diusahakan oleh dua beradik Cina Muslim, Nur Lisa Hoo dan Cindy Mysara Hoo.

Selamat menikmati bak chang halal bagi peminat bak chang mahupun mereka yang baru hendak mencuba.

* Dr Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan