Sampah angkasa ancam bumi, manusia

Puluhan ribu objek sampah angkasa berlegar di orbit bumi. - Foto Agensi
Puluhan ribu objek sampah angkasa berlegar di orbit bumi. - Foto Agensi
A
A
A

FLORIDA - Sebuah satelit Soviet Union berusia 30 tahun, yang berada di orbit kira-kira 1,400 kilometer di atas bumi dilaporkan musnah selepas bertembung dengan serpihan angkasa lepas.

Perlanggaran dahsyat kedua-dua bangkai satelit itu dijangka menyebabkan ribuan serpihan baru yang berbahaya di angkasa lepas.

Ahli astrofizik dan pakar serpihan angkasa lepas, Jonathan McDowell berkata bahawa satelit lama milik Kesatuan Soviet yang dimusnahkan oleh serpihan angkasa dikenali sebagai Kosmos-2143 atau Kosmos-2145.

Perlanggaran itu sekaligus akan menghasilkan lebih banyak sampah angkasa lepas yang sekali gus mengancam operasi satelit lain.

“Serpihan baharu ini berasal dari Kosmos-2143 atau Kosmos-2145 iaitu dua daripada 8 satelit Strela-1M yang dilancarkan pada roket yang sama,” kata McDowell menerusi akaun X yang dahulunya Twitter dan dipetik laman web Space.com.

Serpihan angkasa atau sampah angkasa merujuk kepada serpihan mesin yang ditinggalkan oleh manusia di angkasa. Serpihan muncul dalam bentuk satelit yang tidak berfungsi ataupun gagal berfungsi setelah dilancarkan dari bumi.

Ketika ini masih terdapat banyak satelit lama era Soviet Union yang berusia lebih daripada 60 tahun beredar di orbit sehingga menimbulkan ancaman kepada satelit baharu yang masih berfungsi.

Tambahan pula, satelit Kesatuan Soviet dan roket terpakai ditinggalkan pada ketinggian melebihi 800 kilometer dari bumi telah membimbangkan penyelidik angkasa lepas.

Artikel Berkaitan:

Satelit ini terapung terlalu tinggi untuk dijatuhkan oleh tarikan graviti bumi dan hancur di atmosfera.

Menurut Agensi Angkasa Eropah (ESA) terdapat kira-kira 34,550 objek tersebut yang kini diketahui berada di orbit bumi.

Sekian lama, penyelidik memberikan amaran kerana peningkatan jumlah sampah angkasa di orbit bumi.

Mereka juga bimbang, jika terjadi Sindrom Kessler, yang dinamakan sempena kertas saintis dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Donald Kessler pada tahun 1978, apabila meramalkan peningkatan sampah angkasa di orbit yang mencetuskan pelanggaran dengan objek lain. - Agensi